ROSMANAN (tengah) dituduh di Mahkamah Majistret Setiu. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Helmy Abd Rahman
am@hmetro.com.my


BAPA tiri didakwa di Mahkamah Majistret Setiu, hari ini atas tuduhan mendera hingga menyebabkan kematian kanak-kanak, 5, di Besut, 28 Jun lalu.

Tertuduh, Rosmanan Abdul Rahman, 38, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Ruzuaini juga menetapkan sebutan semula kes dilakukan di Mahkamah Majistret Besut pada 16 Ogos depan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nur Zafirah Rosli.

Dalam kejadian di Felda Tenang, Hulu Besut, dekat Jertih, 28 Jun lalu, Muhammad Hairi Amsyar disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan dilakukan di Unit Kecemasan Hospital Besut pada 3.30 pagi.

Kematiannya dipercayai akibat didera bapa tirinya berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecil.

Keputusan bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu menunjukkan hentakan kuat itu dikesan di bahagian bawah belakang kanak-kanak malang itu.

Mangsa mengalami beberapa kesan lebam lama dan baru di badan.

Bapa tiri mangsa itu mendakwa kanak-kanak terbabit cedera akibat terjatuh ketika menaiki motosikal bersamanya, bagaimanapun pihak Hospital Besut meragui dakwaan lelaki itu dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih pada 5.30 pagi pada hari sama.

Berita berkaitan:

Dihentak sampai usus koyak [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 12:32 PM