SKUAD Helang Merah dilihat berpeluang cerah menjulang trofi Piala FA. Gambar kecil, B Sathianathan. FOTO Azhar Ramli & Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kecenderungan benteng pertahanan tengah Pahang melakukan kesilapan mudah bakal menjadi ‘modal’ lumayan buat jentera serangan Kedah apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada pentas final Piala FA, di Stadium Shah Alam, malam ini.

Bekas pengendali skuad kebangsaan B Sathianathan berkata, skuad Helang Merah dilihat berpeluang cerah menjulang trofi itu berbanding skuad Tok Gajah apabila menyifatkan kedua-duanya memiliki perwatakan berbeza.

Katanya, pengalaman bakal menjadi sandaran buat Kedah yang dibarisi pemain sudah lali dengan tekanan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2015 (naib juara) dan musim lalu (juara).

Jelasnya, kombinasi pemain tempatan dan import Kedah yang seimbang di semua bahagian jelas memberi kelebihan kepada anak buah Nizam Adha Yusoff nanti.

“Kedah cukup baik di semua posisi berbanding Pahang yang hanya kuat di bahagian serangan. Namun, benteng pertahanan Pahang juga mudah dibolosi dengan pemainnya gemar menerjah penyerang lawan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 4:32 AM