ROMERO diturunkan pada final Liga Europa. FOTO Reuters
AFP

Southampton, UK: Sergio Romero mempamer aksi meyakinkan pada perlawanan pra final Liga Europa dengan menyelamatkan sepakan penalti sekali gus membolehkan Manchester United seri tanpa jaringan dengan Southampton pada saingan Liga Perdana semalam.

Pengurus United Jose Mourinho mengesahkan Romero akan diturunkan pada perlawanan menentang Ajax di Stockholm minggu depan dan penalti Manolo Gabbiadini yang diselamatkan penjaga gol itu menghalang sebarang kebangkitan yang cuba dilakukan tuan rumah selepas tewas berturut-turut di tangan Arsenal serta Tottenham Hotspur.

Penjaga gawang antarabangsa Argentina itu yang diturunkan bagi menggantikan David de Gea, turut bertindak cemerlang pada awal babak kedua di St Mary hingga mengakibatkan skuad kendalian Claude Puel itu hilang punca.

“Kami menentang pasukan yang hebat, pasukan yang cuba untuk menang dan menamatkan saingan di kedudukan baik. Saya rasa kami sudah melakukan tugasan yang amat bermakna,” kata Mourinho.

“Sergio bermain cemerlang, lebih daripada sekadar bagus. Pasukan kami tidak sempurna tetapi secara individu, mereka memberikan saya petanda baik. Mereka membuktikan bahawa mereka layak beraksi di final.”

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 4:58 AM