Izzali Ismail
am@hmetro.com.my


“Hati saya tersentuh apabila melihat dia sebak sebaik tamat perlawanan dan tidak mahu lihat dia terus bersedih, saya mendekatinya bagi menyatakan penghargaan supaya dia kembali bersemangat dan ceria,” kata pemain import pasukan bola sepak Kedah Liridon Krasniqi.

Beliau dilihat memujuk lelaki kurang upaya (OKU), Mohd Kamal Abdullah, 61, yang juga penyokong setia skuad Terengganu sejurus tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Tindakan murni Liridon atau digelar ‘Mat Don’ itu yang kini tular di media sosial dan mendapat pujian bukan saja penyokong Kedah, malah peminat skuad Penyu meskipun pasukan mereka kecundang 3-0.

Menurut Liridon, di sebalik rasa sebak, beliau kagum melihat kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan Mohd Kamal yang sanggup datang ke stadium dengan berkerusi roda untuk memberi sokongan dalam setiap perlawanan.

“Saya tahu dia mempunyai semangat serta kesungguhan yang tinggi untuk hadir ke stadium semata-mata mahu melihat aksi perlawanan dan inilah satu keistimewaan yang ada pada dirinya di sebalik kekurangan itu.

“Saya faham apa yang dia rasakan ketika selepas perlawanan itu dan daripada reaksi yang diluahkannya dia amat kecewa dengan kekalahan dan ini juga membuat hati saya tersentuh,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, di sini, hari ini.

Liridon mengakui, dia mengenali Mohd Kamal sejak 2015 ketika perlawanan Kedah dengan T Team di Terengganu.

“Saya mahu dia tahu yang saya sentiasa menghargai sokongan golongan OKU dan di sebalik kepayahan yang mereka lalui, saya sentiasa mendoakan kebahagiaan untuk mereka,” katanya.

Harian Metro kelmarin, melaporkan Mohd Kamal menangis apabila hasratnya untuk melihat pasukan Terengganu ke final Piala FA tidak kesampaian.

Dia yang lumpuh sebelah badan kiri akibat jatuh pokok sebelum diserang demam panas ketika berusia

sembilan tahun sentiasa memberi sokongan kepada pasukan Terengganu dan T-Team walaupun terpaksa hadir ke stadium dengan berkerusi roda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 10:43 PM