TAN Seng Giaw. FOTO arkib NSTP
Veena Babulal dan Syalikha Sazili
cnews@nstp.com.my


PARTI DAP menggugurkan Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, 75, dan menamakan Lim Lip Eng sebagai calon baru di kawasan berkenaan untuk bertanding pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai Seng Giaw yang dikatakan lantang mengkritik kepemimpinan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, berkenaan isu alam sekitar dalam meluluskan projek pembangunan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata calon baru adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Hannah Yeoh yang akan bertanding di kerusi Segambut.

Katanya Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Teresa Kok akan kekal di kerusi masing-masing iaitu Cheras, Bukit Bintang dan Seputeh.

"Ini kali pertama pihak pembangkang mencapai kesepakatan bersama dan bersetuju untuk menggunakan logo Pakatan Harapan bagi PRU-14.

"Kita rehatkan ‘roket’ buat sementara kerana ini saja cara untuk tawan Putrajaya," katanya pada pengumuman

calon Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.

Sementara itu, dalam reaksi, Seng Giaw berkata beliau maklum mengenai pengumuman itu dan terima keputusan parti.

"Saya terima keputusan parti dan akan terus berkhidmat untuk Kepong," katanya ketika dihubungi NSTP.

Dalam reaksi yang sama, Yeoh pula berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi Subang Jaya dengan mengatakan itu bukan haknya untuk menentukan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 12:04 AM