DR Mohd Hisam (dua dari kanan) bersama pasukannya menjalankan pembedahan tulang belakang kurang invasif dengan bantuan Sistem Visualisasi Robotik KINEVO 900.
Zaitie Satibi
2zaisa@hmetro.com.my


PEMBEDAHAN tulang belakang pada masa lalu digambarkan cukup menyakitkan dan membuatkan pesakit menderita dalam tempoh agak lama. Ini kerana, pembedahan di belakang badan pesakit dilakukan secara belahan terbuka, kemudian pesakit dirawat di unit penjagaan rapi (ICU) selama beberapa hari sebelum dibenarkan berjalan.

Prosedur pembedahan invasif minimal masa kini pula membolehkan pesakit menjalani pembedahan tulang belakang mampu bangun dan berjalan seawal lapan jam selepas dibedah. Malah, pesakit juga boleh dilepaskan daripada rawatan di hospital selepas sehari dan kembali bekerja dalam

minggu yang sama.

Bagaimanapun, penggunaan Sistem Visualisasi Robotik KINEVO 900 membolehkan pesakit

penerima manfaat pembedahan tulang belakang yang lebih cekap. Pembedahan kurang invasif dengan teknologi terbaru ini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dikatakan lebih cepat dan selamat untuk membantu lebih ramai pesakit.

Teknologi dalam revolusi pembedahan mikroskop pembedahan dengan peranti ZEISS ini membolehkan pakar bedah tulang belakang membuat keputusan klinikal lebih baik sewaktu pembedahan.

Ia memberikan skop penglihatan lebih luas sambil mengurangkan kesukaran dan keperluan mengubah posisi mikroskop secara manual sekali gus memendekkan sekurangkurangnya 50 peratus waktu pembedahan.

Pakar Perunding Ortopedik dan Tulang Belakang PPUKM, Datuk Dr Mohd Hisam Muhammad Ariffin berkata, pembedahan tulang belakang pada masa dulu amat menyukarkan pesakit sebelum teknik pembedahan kurang invasif (MIS) diperkenalkan.

Katanya, bahagian belakang badan pesakit dibedah secara pemotongan terbuka dan mereka juga terpaksa berada dalam posisi meniarap selama berharihari sebelum boleh berjalan, selain perlutinggal di hospital sehingga seminggu lamanya.

“Penggunaan MIS membolehkan pesakit pembedahan tulang belakang berjalan seawal lapan jam selepas pembedahan.

“Bagi pesakit yang lebih muda dan dalam keadaan kuat, mereka juga boleh dibenarkan pulang seawal sehari selepas pembedahan dan kembali bekerja dalam minggu yang sama.

“Bagaimanapun, kebanyakan pesakit pembedahan tulang belakang sudah berusia menyebabkan kemampuan mereka untuk pulih sepenuhnya agak perlahan.

“Oleh itu, MIS membantu dengan mengurangkan saiz luka pembedahan. Pemotongan yang dibuat biasanya hanya satu inci panjang bagi setiap bahagian tulang belakang yang memerlukan pembedahan.

“Luka yang kecil ini menjadikan pembedahan lebih selamat berbanding dulu. Contohnya, risiko keseluruhan bagi pembedahan tulang belakang adalah tiga peratus pada peringkat global, tetapi dengan MIS kami boleh mengurangkannya kepada hanya 0.2 peratus.

“Bagi pesakit diabetes pula, kami boleh kurangkan risiko daripada 20 hingga 25 peratus kepada kurang daripada satu peratus dengan kaedah MIS,” katanya.

Dr Mohd Hisam berkata, biarpun kaedah MIS digunakan dalam pembedahan tulang belakang di PPUKM sejak 2009, manakala model pembedahan mikroskop versi lama digunakan 2012, pemasangan model terbaru dengan teknologi robotik dan visualisasi terkini itu memberi manfaat besar kepada pakar bedah dan pesakit.

“Bagi prasarana penjagaan kesihatan kerajaan seperti PPUKM, ada persepsi umum bahawa peralatan yang digunakan tidak bagus termasuk senarai menunggu pesakit yang panjang,” katanya.

Beliau berkata, teknologi serta teknik perubatan terbaru di dunia boleh didapati di Malaysia. Jelasnya, peralatan moden ini menghasilkan perbezaan ketara dalam mengurangkan waktu menunggu.

“Sedekad lalu, bila pembedahan terbuka dilakukan tempoh menunggu tipikal bagi pembedahan tulang belakang elektif boleh memakan masa enam hingga sembilan bulan.

“Hari ini, melalui kaedah MIS dan penggunaan pembedahan mikroskop dengan teknologi robotik, tempoh menunggu dikurangkan kepada tiga bulan secara puratanya,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya boleh melakukan kira-kira tiga pembedahan setiap hari dan setiap pembedahan adalah sekurang-kurangnya 50 peratus lebih pantas. Tambahnya, ia dipadankan pula dengan tempoh pemulihan pesakit yang lebih cepat hasil penggunaan kaedah MIS, PPUKM juga boleh mengosongkan katil hospital untuk kemasukan pesakit lain.

Model KINEVO 900 ini menggabungkan Visualisasi Hibrid Digital dan Kawalan Robotik Pakar Bedah yang terbaru. Penyelesaian tiga dalam satu ini menyatukan fungsi mikroskop pembedahan dengan sistem digital resolusi 4,000 piksel (4K) dan visualisasi tiga dimensi (3D) yang tidak memerlukan skop okular dan juga imej in-situ untuk meraih kejituan lebih baik, sambil menggunakan teknologi robotik bagi mengurangkan kerja manual dalam cara yang baru dan unik.

Kawalan Robotik Pakar Bedah mampu mengurangkan kerja manual pakar bedah dengan fungsi bantuan inovatif. Pakar bedah boleh merancang laluan pembedahan lebih awal dan mikroskop akan memandu mereka ke sasaran pembedahan. Kemajuan terbaru ini membolehkan pakar bedah bekerja secara lebih ergonomik dan stabil, selain tidak perlu lagi mengubah posisi mikroskop berkenaan secara manual dan menstabilkan pembesaran imej dengan setiap pergerakan sekali gus membolehkan mereka memfokuskan pergerakan tangan bagi prosedur pembedahan berkenaan saja.

Melalui teknologi Visualisasi Hibrid Digital, pakar bedah tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya pada sistem optikal untuk melihat kawasan pembedahan. Apabila sistem visualisasi optikal digabungkan dengan sistem jenis digital, pakar bedah boleh menggunakan skrin monitor luaran yang dihubungkan dengan

kamera 4K beresolusi tinggi.

“Jika dibandingkan dengan peralatan sebelumnya, penglihatan optikal penuh menjadi bermasalah terutamanya apabila berdepan sudut ekstrem kerana pakar bedah tidak dapat melihat menerusi mikroskop dan membedah pada waktu yang sama.

“Kini, mereka boleh bekerja dengan lebih ergonomik, tidak perlu meliukkan leher, tetapi masih boleh lihat dengan sudut pandang yang luas sekali gus membolehkan mereka bekerja dengan lebih cekap.

“Tambah lagi, pelajar atau ahli pasukan lain yang berada dalam bilik pembedahan juga boleh melihat prosedur ini secara langsung menerusi skrin monitor yang memaparkan imej jelas dalam resolusi tinggi 4K atau kualiti 3D.

“Pelbagai peringkat prosedur pembedahan mikro boleh diikuti dengan lebih mudah dan jelas. Impak pembelajaran juga meningkat dengan tahap penglihatan yang unggul,” kata Dr Mohd Hisam.

Sementara itu, pesakit, Jaswant Singh Khosa, 80, yang menderita sakit tulang belakang sejak enam tahun lalu yakin dengan teknologi baru itu dan komited untuk pulih selepas disyorkan mengenai pembedahan berkenaan oleh ahli keluarganya.

“Saya mula mengalami sakit belakang akibat terjatuh pada usia 23 tahun dan ia menjadi lebih teruk apabila umur mencecah 45 tahun. Bagaimanapun, sejak enam tahun kebelakangan ini sakitnya makin menjadijadi.

“Ini menyebabkan saya semakin menderita kerana ubat yang diambil tidak membantu. Biarpun disaran melakukan pembedahan tulang belakang, saya tetap

rasa sangsi dan tidak mampu melakukannya di hospital swasta,” katanya.

Tidak tahan melihat Jaswant menanggung kesakitan pada usia lanjut, beberapa ahli keluarga dan rakan mencadangkan dia ke pusat perubatan berkenaan untuk mendapatkan pandangan dan rawatan terbaik.

“Saya diberitahu mengenai teknologi baru itu yang digunakan PPUKM sejak Mac lalu boleh membuatkan pembedahan jadi lebih cepat.

“Selepas berbincang dengan doktor, saya berasa positif untuk menjalani pembedahan ini dan yakin ia adalah pilihan terbaik buat saya.

“Selepas pembedahan, kini saya rasa lebih kuat. Saya sudah boleh menggerakkan kaki dengan lebih mudah dan bangun berdiri tanpa bantuan berbanding sebelum ini terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda,” katanya.

Jaswant yang juga pesakit tertua dibedah menggunakan peralatan baru itu hanya menghabiskan masa tiga hari di hospital berbanding 10 hari yang tipikal bagi pesakit berusia yang dibedah menggunakan teknik pembedahan terbuka pada masa dulu.

Malah, Dr Mohd Hisam juga memuji Jaswant dan keluarganya kerana begitu disiplin melakukan fisioterapi di rumah dengan beberapa langkah yang diajar selepas pembedahan. Sesi fisioterapi formal juga diadakan di PPUKM mulai 10 hari selepas pembedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 4:00 AM