MAKAN telur setiap hari boleh menghindarkan penyakit kardiovask.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


MAKAN telur setiap hari boleh menghindarkan penyakit kardiovaskular! Ini penemuan dalam satu kajian diterbitkan menerusi Jurnal Kajian Jantung pada 21 Mei lalu apabila mendapati individu yang makan telur setiap hari, mengurangkan risiko kematian disebabkan penyakit kardiovaskular sebanyak 18 peratus dan mengelakkan kemungkinan kematian akibat pendarahan strok sehingga 28 peratus berbanding mereka tidak mengambil telur dalam diet seharian.

Kajian itu membabitkan 400,000 sampel lelaki dewasa berusia 30 hingga 79 tahun menerusi 10 tinjauan dalam talian di China. Pengkaji melihat kekerapan subjek kajian makan telur dan melakukan pemerhatian sembilan tahun menerusi senarai berdaftar atau kaedah lain. Mereka yang makan telur sekali sehari dilaporkan jarang mengalami penyakit kardiovaskular, penyakit jantung iskemik, serangan jantung, strok dan iskemik strok.

Bagaimanapun sejauh manakah kebenaran kajian itu? Menurut Pakar Jantung UiTM Private Specialist Centre (UiTM PSC) Dr Sazzly Kassim, kajian berkenaan yang membabitkan impak pemakanan terhadap penyakit tertentu, ada kalanya tidak memberi gambaran tepat untuk diguna pakai secara umum.

Katanya, ini merujuk kepada faktor yang mendorong penyakit itu sendiri adalah pelbagai terutama berkait dengan gaya hidup yang tidak sihat selain masalah jantung sejak kecil dan sebagainya. Makanan hanya sebahagian daripada faktor penyumbang kepada strok selain masalah lain seperti merokok, tidak bersenam, tidak cukup tidur dan stres.

“Kajian seperti ini biasanya dilihat mempunyai unsur berat sebelah dan kredibilitinya untuk diguna pakai umum rasanya masih menjadi persoalan

atau perdebatan dalam kalangan pengamal perubatan.

“Sebagai contoh sebelum ini satu kajian dilakukan sekitar 1970-an dan 1980-an mengenai diet sihat mendapati pengambilan karbohidrat ketika itu penting berdasarkan penukaran makanan kepada tenaga tetapi kini ia disahkan pula sebagai penyumbang kepada masalah diabetes jika pengambilan keterlaluan.

“Secara peribadi saya tidak bersetuju mengenai pencegahan atau merawati masalah berpunca daripada makanan diselesaikan dengan makanan lain. Bagi saya langkah pencegahan terbaik ialah melalui amalan hidup sihat seperti mengambil makanan seimbang, banyakkan sayur dan protein dan kurangkan makanan berlemak serta gula tinggi.

“Kemudian lengkapkan rutin dengan senaman sekurang-kurangnya satu hingga dua jam sehari, tidak merokok dan tahu kaedah untuk relaks apabila berdepan

tekanan,” katanya.

Ditanya sama ada makanan boleh membantu mengurangkan risiko mengalami strok, kata Dr Sazzly, kita perlu faham konteks termasuk faktor seperti obesiti yang ketika ini turut mempunyai sumbangan kepada masalah strok.

“Kalau pesakit bertanya kepada saya, bagi individu obes, cara untuk keluar daripada kumpulan berisiko ialah dengan memilih diet sesuai dalam kuantiti terkawal supaya kekal sihat.

“Tetapi asasnya bertujuan untuk mengurangkan berat badan. Sebagai contoh ada segelintir pesakit saya sarankan diet ketogenik iaitu rendah karbohidrat dengan menukarkan fungsi tubuh kepada ‘mesin pembakar lemak’. Keadaan ini merujuk kepada satu molekul berperanan sebagai ejen pembakar yang dikenali ‘ketone’ menukarkan sumber tenaga seperti lemak yang tersimpan kepada tenaga apabila bekalan glukosa rendah.

“Namun saya hanya sarankan ia diamalkan tidak melebihi tiga bulan. Selepas itu pesakit perlu mengamalkan kembali diet seimbang, bersenam, tidur cukup dan sebagainya,” katanya.

Nasihatnya, pilih makanan semula jadi yang tidak diproses. Jika dapat, sediakan sendiri di rumah kerana kita boleh mengawal penggunaan bahan masakan, lebih bersih dan selamat.

“Sebenarnya kolesterol penting kerana ia membantu proses baik pulih saluran darah tetapi kalau terlalu tinggi pengambilannya boleh memberi kesan lain. Saluran darah ini boleh diumpamakan sebagai lebuh raya yang berkilometer jauhnya untuk sampai ke otak.

“Peranan kolesterol ini membantu merawati dinding salur darah yang rosak kerana cirinya menempel di dinding saluran darah. Namun jika terlalu banyak, ia boleh memberi tekanan kepada salur darah menyebabkan berlaku pembengkakan. Jika terlalu banyak lemak yang melekat, saluran darah boleh pecah. Jika keadaan ini berlaku di bahagian kepala atau otak, ia akan menyebabkan pendarahan dan mengakibatkan strok,” katanya.

Menurut Dr Sazzly ada dua keadaan yang boleh menyebabkan strok:

i. Strok iskemik - berlaku apabila berlaku sekatan atau pengurangan aliran darah dalam arteri yang membekalkan darah ke bahagian otak. Ini adalah punca yang sering berlaku yang menyebabkan infak (bahagian otak yang ‘mati’ disebabkan oleh kekurangan oksigen).

ii. Strok hemoragik - merujuk kepada berlakunya pendarahan dalam dan di sekeliling otak dan dan menyebabkan mampatan dan kecederaan pada tisu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 3:30 AM