KETIKA sesi perkongsian panel dalam Kempen Red Bull Memperkasakan Rakyat Malaysia Untuk Menjadi Lebih Produktif Dengan Daya Hidup Yang Seimbang baru-baru ini.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Pernahkah anda mengalami rasa penat, lesu dan hilang fokus apabila melakukan rutin harian yang memenatkan? Biasanya keadaan itu dikaitkan dengan kehilangan tenaga berlebihan atau berada di bawah tekanan luar biasa.

Pakar Nutrisi Klinikal dan Pengasas Nutrimed Health Consultancy, Dr Chang Lin Fun menerangkan, ia biasa terjadi kepada individu yang mempunyai gaya hidup sibuk selain persekitaran tidak sihat menyebabkannya mengalami stres.

“Stres antara faktor menyumbang kepada masalah penghadaman, berat badan berlebihan, keradangan kronik mahupun sakit jantung.

“Justeru dalam keadaan tekanan, biasanya mental dan fizikal berada dalam keadaan ‘tegang’ dan menjejaskan sistem dalam badan.

“Justeru sejenis asid amino yang juga protein terkecil untuk keperluan tubuh, taurina dilihat membantu memainkan peranan dalam menjana tenaga untuk aktiviti tubuh. Ia biasanya diperoleh daripada sumber makanan berasaskan haiwan seperti daging, ikan dan tenusu.

“Taurina diperlukan otak, mata, jantung dan otot menerusi peranannya mengekalkan penghidratan dan keseimbangan elektrolit dalam sel, membentuk garam hempedu, menyokong fungsi umum sistem saraf pusat dan mata serta mengawal sistem imun kita dengan fungsi antioksidanya.

“Kekurangan taurina bermakna boleh menjejaskan penghasilan tenaga untuk tubuh selain melemahkan fungsi otak.

“Nutrien lain seperti vitamin B juga diperlukan untuk membantu mengimbangi tindak balas neuron bagi mengurangkan kesan stres yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Diet yang sihat disokong dengan pengambilan makanan atau minuman tenaga tambahan termasuk membekalkan kumpulan mikro nutrien yang lebih pelbagai kepada badan dalam meningkatkan prestasi tubuh dan ketajaman mental kita,” katanya.

Dr Chang antara panel yang terbabit dalam taklimat mengenai nutrisi penting untuk tenaga ketika kempen Red Bull Memperkasakan Rakyat Malaysia Untuk Menjadi Lebih Produktif Dengan Daya Hidup Yang Seimbang, di ibu kota, baru-baru ini.

Sementara itu Pengurus Negara Allexcel Trading Red Bull Malaysia, Jate Samathivathanachai berkata, pihaknya melancarkan kempen itu bagi meningkatkan kesedaran mengenai gaya hidup aktif dan seimbang untuk kesihatan.

Dalam kempen yang sama, pihaknya turut berkongsi mengenai kajian terkini mendapati 61 peratus orang dewasa Malaysia tidak aktif dan ia meletakkan kedudukan Malaysia sebagai negara kurang aktif dari segi fizikal di mata dunia.

“Apabila kami memulakan operasi di Thailand pada 1975, kami membawa hasrat mengembalikan kecergasan tubuh dan minda di waktu mereka bekerja lebih masa atau melakukan aktiviti berat.

“Hasrat kami masih sama dan kali ini langkah kami bergerak lebih jauh iaitu membantu rakyat Malaysia untuk memahami kepentingan gaya hidup yang sihat serta seimbang.

“Usaha kami ke tahap seterusnya menerusi hasrat memperkasakan rakyat negara ini dalam penyertaan aktiviti senaman fizikal selain pemilihan diet betul.

“Ia bukan saja membantu meningkatkan produktif rakyat malah negara,” katanya.

Gejala kekurangan protein serius

1. Keletihan dan lesu

Kurang bertenaga, mudah tertidur, letih dan tidak bermaya.

2. Otot-otot menggeleber

Protein penting dalam pemulihan dan pembinaan semula tisu-tisu otot. Malah dalam satu aspek lebihan protein akan disimpan dalam otot untuk kegunaan tubuh jika berlaku kekurangan.

3. Sistem imun lemah

Protein ialah kunci kepada sistem imun yang kuat. Ia asas kepada sel darah merah, sel darah putih dan antibodi, semuanya bertindak bersama-sama untuk melindungi tubuh anda daripada bakteria, virus dan patogen lain.

4. Lambat pulih daripada kecederaan

Kurang protein bermaksud tisu-tisu juga lambat untuk pulih. Jika anda cedera dan mengalami kekurangan protein, tubuh anda akan mengambil masa yang lebih panjang untuk sembuh.

5. Kulit kendur dan berkedut

Asid amino menjana protein struktur dikenali dengan kalogen. Tanpa protein, tiada kolagen dihasilkan untuk kulit yang bertanggungjawab menjadikan kulit kita anjal dan kuat. Kolagen juga bertindak seperti ‘simen’ yang menyatukan kulit kita.

6. Rambut gugur dan kuku rapuh

Apabila anda tidak mendapat protein yang cukup, tubuh akan bertindak balas dengan meletakkan posisi sistem automasi dalam tubuh kepada ‘mod penjimatan’. Apa yang berlaku ia akan berhenti menggunakan protein dalam penghasilan rambut dan kuku.

Panduan pengambilan pemakanan tambahan berdasarkan rujukan nutrisi dan suplemen Amerika Syarikat (AS) bagi vitamin B ialah seperti berikut;

• Biotin - 250μg

• Asid folik - 600 μg

• Vitamin B1 - 55mg

• Vitamin B2 - 45mg

• Vitamin B3 - 60mg

• Vitamin B5 - 94mg

• Vitamin B6 - 63mg

• Vitamin B12 - 175μg

Peranan Vitamin B

Vitamin B12 penting dalam pembentukan molekul adenosin trifosfat (ATP), yang digunakan oleh sel-sel kita untuk bahan bakar.

Vitamin B6 memainkan peranan penting dalam melepaskan glukosa ke otot anda di mana glukosa dipecahkan untuk menghasilkan ATP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 12:00 AM