Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Pembentukan semula tulang merangkumi proses sintesis dan penyerapan berulang yang menjadikan struktur tulang lebih matang dan berupaya mengekalkan tahap kalsium normal dalam tubuh manusia.

Proses penyerapan tulang berlaku apabila sel dipanggil osteoklas melepaskan kalsium ke dalam aliran darah bagi memenuhi keperluan metabolik badan dan secara semula jadi membentuk tulang seterusnya mengekalkan struktur rangka.

Ketika kanak-kanak, proses pembentukan tulang berjaya mendominasi proses penyerapan seiring dengan proses tumbesaran.

Namun, apabila tulang mencapai tahap matang, proses sintesis dan penyerapan berfungsi hanya bagi menyeimbangkan struktur tulang manusia.

Pakar perunding geriatrik, Dr Chen Queen Liung berkata, tulang melalui proses penyerapan yang berterusan dan berlangsung sepanjang hidup seseorang manusia.

“Proses ini berfungsi untuk pembentukan semula tulang. Lebih banyak hormon dihasilkan, lebih baik struktur tulang dapat dibina.

“Apabila hormon berkurangan, ia membuatkan tulang menjadi rapuh.

“Osteoporosis bermaksud tulang berliang dan menjadi rapuh. Ia adalah penyakit tulang rapuh yang terjadi apabila tubuh kehilangan banyak jisim tulang atau penghasilan tulang yang sedikit atau kedua-duanya sekali.

“Osteoporosis berlaku apabila wujud ketidakseimbangan di antara proses pembentukan tulang baru dan kemerosotan tulang lama. Seterusnya, tulang menjadi lemah dan mudah retak atau patah sekiranya seseorang itu terjatuh atau mengalami hentakan,” katanya.


DR Chen.

Ada dua jenis mineral utama bagi pembentukan struktur tulang normal iaitu kalsium dan fosfat. Jika bekalan kalsium dan fosfat di dalam badan tidak mencukupi, hormon pengawal fungsi badan akan mengambil dua mineral itu daripada tulang supaya badan boleh berfungsi sebaik-baiknya. Bagaimanapun, jika terlalu banyak diambil, tulang akan menjadi lemah.

Oleh kerana tulang adalah tisu hidup, ia sentiasa menjalani proses pembentukan semula tetapi proses itu menjadi dominan pada usia awal 20-an (kemuncak jisim tulang).

Proses pembentukan semula ini penting bagi memastikan tulang sentiasa dalam keadaan kuat dan penyelidik mendapati tulang orang dewasa ‘diganti’ secara semula jadi setiap 10 tahun.

Faktor genetik dan persekitaran mempunyai pengaruh besar kesihatan tulang. Bagaimanapun, faktor persekitaran seperti pemakanan dan aktiviti jasmani memainkan peranan penting dalam pembentukan tulang sihat dan kuat. Ketidakcukupan nutrisi juga melemahkan tulang dan kesannya yang berlaku secara perlahan-lahan biasanya dirasai ketika tua.


OSTEOPOROSIS

Masalah osteoporosis dan keretakan tulang sering menimpa wanita khususnya warga emas. Kecederaan tulang boleh berlaku apabila warga emas terjatuh dari kerusi atau katil, tergelincir atau ketika berdiri.

“Jika dibandingkan dengan lelaki yang mengalami masalah tulang rapuh ketika berusia 70 hingga 75 tahun, wanita lebih berisiko apabila mereka mengalami fasa menopaus (penghujung kitaran haid dan kesuburan).

“Fasa putus haid membuatkan ovari tidak lagi menghasilkan pengeluaran dua hormon kesuburan utama, estrogen dan progesteron yang juga bertindak melindungi tulang wanita,” katanya ketika ditemui.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan lelaki dan wanita muda turut berisiko mengalami osteoporosis disebabkan gaya hidup atau gangguan terhadap sistem imunisasi tubuh.

Jelasnya, gangguan sistem imuninasi (penyakit autoimun) antara punca orang muda dikategorikan bawah 50 tahun menghidapi penyakit osteoporosis.

Katanya, penyakit autoimun apabila sistem imunisasi yang mengawasi dan melawan kehadiran bakteria dan virus, bertindak sebaliknya dengan menyerang tubuh.

Gangguan sistem ini merosakkan tisu dan menjejaskan kekebalan sistem imunisasi untuk melawan kuman yang mendedahkan badan kepada jangkitan.


TULANG rapuh dipengaruhi faktor usia, hormon, pemakanan dan gaya hidup.

Antara penyakit dikaitkan dengan gangguan autoimun adalah artritis reumatoid dan lupus eritematosus sistemik (SLE).

“Selain itu, gaya hidup tidak sihat dan aktif menjejaskan kekuatan struktur tulang. Ini termasuk tabiat merokok, kurang senaman, latihan sendi serta kurangnya pengambilan nutrisi baik seperti kalsium, vitamin D dan protein.

“Masalah kerapuhan tulang boleh berlaku dan dipercepatkan dengan pengambilan produk makanan tambahan dan ubatan tinggi kandungan steroid.

“Bagi tujuan pemeriksaan osteoporosis, selalunya kami menggunakan Dual Energy X-ray Absorptiometry (DEXA). Ujian ini membolehkan diagnosis dengan menilai risiko individu mengalami kecederaan akibat osteoporosis. Kebiasaannya, ujian ini dilakukan di bahagian tulang belakang dan pinggul untuk menyukat kehilangan kuantiti tulang,” katanya.

Ujarnya, keputusan ujian ini dikira mengikut skornya, -1 ke atas adalah normal atau sihat, -1 hingga -2.5 dikategorikan osteopenia (ketumpatan mineral tulang kurang daripada normal) dan bawah -2.5 pula skor bagi pesakit osteoporosis.

Kecederaan tulang pinggul warga emas

Osteoporosis juga penyebab hampir 90 peratus kecederaan atau keretakan tulang pinggul dalam kalangan warga emas. Biasanya keretakan tulang disebabkan terjatuh termasuk di bilik air.

Selain kurangnya keseimbangan badan, insiden terjatuh berlaku atas beberapa faktor termasuk struktur tulang rapuh yang menyukarkan pembentukan semula struktur tulang baru berikutan peningkatan usia.

“Ada banyak perkara menyebabkan warga emas mudah terjatuh terutama kurangnya deria sentuh atau reseptor yang sensitif dan masalah katarak. Apabila punca ini bergabung mengakibatkan kecederaan, warga emas mengambil masa lama untuk pulih menjadi seperti biasa.

“Justeru, pakar ortopedik dan geriatrik perlu bekerjasama bagi membantu golongan ini. Sebagai langkah pertama, apabila pegawai perubatan menerima pesakit warga emas yang mengalami kecederaan tulang akibat jatuh, aspek geriatrik perlu diambil kira.

“Mengenal pasti punca jatuh seperti hilang keseimbangan badan dan kurang nutrisi yang menjadi simptom awal osteoporosis, antara insiatif yang dapat mencegah kunjungan kedua pesakit atau seterusnya,” terangnya.


MAKANAN terbaik bagi menghindari osteoporosis.

Mengulas mengenai rawatan, Dr Chen mengakui pembedahan antara kaedah perubatan yang disarankan tetapi ia bergantung pada keadaan pesakit warga emas yang kebanyakan mereka dikategorikan berisiko tinggi.

Inilah sebabnya penjagaan tulang perlu dimulakan sejak muda dengan pengamalan pemakanan seimbang dan pemakanan sihat selain mengelakkan aktiviti yang boleh menjejaskan kekuatan organ penyokong ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 12:30 AM