WANITA dilahirkan bersama dua juta sel telur.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com

Wanita dilahirkan bersama dua juta ovum sepanjang hayat dan kuantiti sel telur yang penting bagi proses kehamilan ini berkurangan seiring dengan pertambahan usia mereka.

Lanjutan daripada fakta ini, kadar kesuburan dan kemungkinan untuk hamil menjadi rendah akibat gaya hidup segelintir wanita hari ini mengutamakan kestabilan hidup sebelum memulakan kehidupan berkeluarga.

Ini terbukti apabila laporan Perangkaan Penting oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan kadar kehamilan negara jatuh ke tahap terendah pada 2016.

Nisbah kadar kehamilan dan wanita berusia 15 hingga 49 tahun pada 2016 hanya 1.9 bayi, manakala usia 27.7 tahun adalah purata umur ibu yang melahirkan bayi pertama.

Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr Eeson Sinthamoney mengakui kefahaman terhadap isu kesuburan wanita adalah penting dalam merangka kehamilan.


ANTARA ujian kesuburan perlu dilakukan wanita yang ingin merancang kehamilan.

“Kira-kira 10 peratus wanita mengalami penurunan fungsi ovari pada awal 20-an hingga pertengahan usia 30 tahun.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, saya mendapati semakin ramai wanita dalam usia awal 30-an datang bertemu saya untuk mengetahui cara merancang kehamilan pada masa depan.

“Ia berikutan keputusan golongan ini menangguhkan kehamilan, namun tidak ingin menjejaskan peluang mereka bergelar ibu pada satu hari nanti.

“Wanita dilahirkan bersama dua juta telur. Walaupun jumlah ini kelihatan banyak, wanita sebenarnya kehilangan telur setiap kali haid. Malah, bukan saja angka ini berkurangan sepanjang hayat bahkan kualitinya.

“Justeru, kita menyarankan wanita melakukan ujian hormon w(AMH) sebagai penanda bio mengukur jumlah ovum (telur) yang ada.

“Ujian AMH ini berfungsi mengenal pasti bilangan tahun kesuburan seseorang wanita dan membolehkan doktor berkongsi nasihat terbaik dalam merancang kehamilan.

“Melihat trend masa kini, ada segelintir wanita merancang menangguhkan kehamilan namun tetap mahu menjadi ibu. Jadi ujian AMH membantu golongan wanita memadankan matlamat kerjaya seiring dengan impian mendapatkan zuriat,” katanya.

Jelasnya, hormon Anti-Mullerian dihasilkan secara khusus oleh sel dalam folikel ovari dan kepekatannya berkurangan dengan peningkatan usia sehingga ia tidak boleh dikesan dalam tempoh lima tahun sebelum menopaus.

Kata Dr Eeson, paras hormon Anti-Mullerian dalam darah digunakan sebagai penanda rizab ovari wanita dan mengenal pasti baki bekalan sel telur yang sedia ada untuk persenyawaan.


UJIAN AMH mudah dilakukan pada bila-bila masa.

“Ujian AMH penting bagi wanita merangka kehamilan atau yang berdepan masalah ketidaksuburan. Berbekalkan keputusan ujian AMH, doktor boleh memberi penjelasan mengenai kesuburan individu dan membantu pasangan memilih waktu sesuai mendapatkan anak secara alami ataupun menerusi rawatan.

“Fungsi ujian AMH juga meramalkan tindak balas wanita terhadap rangsangan ovari dalam pengurusan masalah ketidaksuburan seperti persenyawaan in-vitro (IVF).

“Jika aras AMH berada dalam julat normal, ovari mungkin bertindak balas secara positif terhadap ubatan dan lebih banyak telur dijangkakan terhasil, seterusnya meningkatkan kadar kejayaan IVF,” jelasnya.

Sebelum ujian AMH diperkenalkan, ujian kesuburan wanita paling lazim membabitkan prosedur ultra bunyi trans vagina menerusi vagina. Manakala ujian AMH pula jauh lebih mudah, hanya menerusi ujian darah pada bila-bila masa termasuk ketika haid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 12:15 AM