Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Pengambilan makanan yang tidak seimbang terutama melebihkan makanan yang tinggi kandungan lemak tepu biasanya akan meningkatkan kadar kolesterol. Selain kurang bersenam, berat badan berlebihan dengan lemak yang tertumpu di bahagian perut dan pinggang meningkatkan kadar trigliserida dan menurunkan kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) atau kolesterol baik.

Namun, segelintir orang memiliki kadar kolesterol yang tinggi walaupun mengamalkan gaya hidup yang sihat dan diet yang seimbang. Ini disebabkan faktor keturunan yang mempengaruhi masalah kolesterol tinggi.

Sekiranya ada ibu atau bapa yang mempunyai kadar kolesterol tinggi, maka besar kemungkinan anak mewarisi masalah itu.

Hiperlipidemia adalah terma merujuk kepada gangguan genetik yang mengakibatkan aras lipid (lemak, kolesterol dan trigliserida) yang tinggi dalam darah. Semua lipid ini boleh menembusi dinding arteri dan meningkatkan risiko pembentukan aterosklerosis atau arteri mengeras yang menyumbang kepada serangan jantung dan strok.

Risiko arteri mengeras ini lebih tinggi jika seseorang itu kuat merokok, menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan kegagalan buah pinggang.

Dianggarkan lebih tiga juta orang menghidap gangguan genetik ini di Amerika Syarikat dan Eropah. Malah, penyakit ini sangat biasa dalam kalangan penduduk di negara maju diikuti mereka yang mengamalkan pemakanan Barat dengan kandungan lemak yang tinggi.


ATEROSKLEROSIS

Gangguan genetik boleh dirawat, tetapi rawatannya adalah sepanjang hayat. Hiperlipidemia biasanya kronik dan memerlukan ubat statin berterusan untuk mengawal aras lipid dalam darah.

Satu daripada jenis hiperlipidemia adalah hiperkolesterolemia iaitu terlalu banyak kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol jahat dalam darah. LDL yang tinggi menyebabkan pengumpulan lemak dalam arteri yang boleh meningkatkan risiko arteri tersumbat.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, kira-kira 47.7 peratus daripada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas menghidap hiperkolesterolemia. Malaysia juga mencatat kadar tertinggi penyakit kardiovaskular di Asia Tenggara apabila tinjauan menunjukkan rakyat Malaysia mendapat penyakit jantung pada usia seawal 58 tahun.

Dibandingkan dengan penduduk negara lain yang mendapat penyakit jantung pada usia lebih lewat seperti Thailand yang bermula pada usia 65 tahun, China (63), negara Barat (66) dan Kanada (68).

Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof berkata, impak penyakit kardiovaskular merangkumi fizikal negatif, emosi, sosial, psikologikal dan kewangan yang bukan saja kepada penghidapnya, malah penjaga turut menanggung beban yang sama.

“Di Malaysia, penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah punca kematian utama yang menyebabkan kira-kira 73 peratus daripada jumlah kematian. Penyumbang utamanya adalah penyakit kardiovaskular yang berpunca daripada hiperkolesterolemia.

“Penyakit kardiovaskular adalah sekumpulan penyakit salur darah dan jantung yang mengakibatkan penyakit jantung koronari atau iskemia, strok, tekanan darah tinggi, kegagalan jantung dan penyakit jantung reumatik.

“Kira-kira 17.7 juta orang meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular pada 2015 dan ini mewakili 31 peratus daripada kematian global. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2014 pula menunjukkan kadar kematian di Malaysia bagi penyakit kardiovaskular ialah 36 peratus,” katanya.

Katanya, tahap kolesterol LDL yang tinggi diiktiraf sebagai faktor risiko tinggi bagi penyakit kardiovaskular. Faktor risiko lain termasuk merokok dan tekanan darah tinggi. Bagaimanapun, hiperkolesterolemia familial iaitu penyakit keturunan yang menyebabkan aras LDL tinggi ketika lahir juga meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular pada usia yang muda.

Sehubungan itu, syarikat bioteknologi bebas terkemuka dunia, Amgen, memperkenalkan rawatan Repatha iaitu sejenis perencat ‘proprotein convertase subtilisin/kexintype 9’ (PCSK9) untuk menurunkan aras kolesterol tinggi. Ia mengandungi bahan aktif yang dinamakan evolocumab.

Pakar Perunding Kardiologi, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) Dr Choo Gim Hooi berkata, evolocumab direka untuk bergabung dengan molekul PCSK9 yang akan mengurangkan kebolehan hati untuk menyerap kolesterol.

Bergabung dan merencatkan fungsi PCSK9, ubat ini meningkatkan jumlah kolesterol yang diserap hati dan seterusnya menurunkan aras kolesterol dalam darah. Melalui gabungan tindakan merencat protein itu dengan pengambilan ubat statin, hati dapat mengurangkan aras LDL dalam darah sebanyak 70 peratus.


DR AHMAD KHAIRUDDIN (kiri) dan Dr Choo di majlis pelancaran Repatha untuk menurunkan paras LDL.

“Preskipsi ubat statin biasanya diberikan untuk mengurangkan LDL. Bagaimanapun, rawatan statin saja mungkin tidak memadai untuk sesetengah pesakit. Perencat PCSK9 seperti evolocumab boleh meningkatkan keberkesanan penurunan tahap kolesterol LDL dalam kalangan pesakit yang tidak dapat mencapai keputusan optimum menerusi terapi piawai dengan statin.

“Ubat baru ini boleh digunakan bersama statin untuk pesakit yang tidak dapat menerima dos statin yang optimum untuk mencapai pengurangan aras kolesterol LDL secukupnya. Data daripada kajian klinikal menunjukkan bahawa ubat ini memberi tambahan pengurangan LDL sehingga 77 peratus dalam kalangan pesakit yang sudah menerima terapi statin,” katanya.

Katanya, rawatan evolocumab juga dianjurkan sebagai rawatan seiring dengan penjagaan diet dan terapi statin pada dos optimum untuk orang dewasa dengan hiperkolesterolemia familial atau penyakit kardiovaskular aterosklerosis yang perlu mengurangkan lagi LDL dengan lebih efektif.

“Bagi faktor keturunan ini wujud dalam bentuk heterozygous familial hypercholesterolemia (HeFH) dan homozygous familial hypercholesterolemia (HoFH). HeFH berlaku apabila mutasi genetik diwarisi daripada ibu atau bapa, manakala HoFH adalah versi yang lebih teruk diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa.

“Kesan evolocumab terhadap morbiditi kardiovaskular dan mortaliti masih belum dibuktikan. Satu kajian klinikal mendapati bahawa ia mengurangkan kolesterol LDL dengan tambahan 60 peratus apabila digabungkan dengan statin sebagai rawatan dasar dalam kalangan pesakit HeFH.

“Kajian lain dengan pesakit HoFH menunjukkan bahawa dos bulanan evolocumab dengan statin sebagai rawatan dasar menurunkan aras kolesterol LDL sehingga 31 peratus selepas tiga bulan.

“Ini adalah inovasi yang amat ketara dalam tempoh 30 tahun bagi pengurusan kolesterol dan kami berharap dapat lihat keberkesanannya terhadap kehidupan pesakit dan membantu menangani beban penyakit kardiovaskular yang semakin meningkat,” katanya.

Ubat statin menghalang pengeluaran kolesterol dengan menyekat enzim dalam sel hati. Ini menyebabkan kurang kolesterol dilepaskan ke dalam saluran darah. Bagaimanapun, jika pesakit tidak bertindak balas dengan sebaiknya kepada terapi statin secara tersendiri, ubat lain boleh dipertimbangkan.

Ubat ini berfungsi dengan cara berbeza daripada terapi statin. Ia mengandungi evolocumab yang direka untuk dicantumkan kepada PCSK9 yang mempengaruhi keupayaan hati untuk menyerap kolesterol.

Dengan pencantuman sepenuhnya kepada PCSK9, ubat ini dapat meningkatkan jumlah kolesterol yang diserap oleh hati dan seterusnya dapat menurunkan aras kolesterol dalam darah. Di Malaysia, ia diedarkan oleh Zuellig Pharma dan rawatan ini diberikan secara subkutaneus atau suntikan bawah kulit pada dos 140 miligram (mg) setiap dua minggu atau 420mg sekali sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:30 AM