Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Mata kanak-kanak melalui proses perkembangan daripada lahir sehingga berusia 12 tahun. Jika dalam tempoh itu penglihatan didapati kabur, ia akan memberi kesan pada perkembangan mata dan pusat visual kanak-kanak.

Penglihatan yang kurang baik menjejaskan keupayaan dan pembelajaran kanak-kanak kerana menyukarkan mereka untuk melihat, belajar dan memahami. Oleh itu, masalah mata yang tidak dirawat awal boleh menjadi lebih buruk sehingga menjejaskan personaliti dan menyukarkan kanak-kanak menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

Masalah mata yang biasa dialami kanak-kanak adalah rabun jauh atau miopia. Dalam keadaan ini, kanak-kanak tidak dapat melihat objek yang jauh dengan jelas. Kanak-kanak mengalami miopia memiliki bentuk kornea terlalu melengkung atau bola mata terlalu panjang. Ini menyebabkan objek kelihatan kabur berikutan cahaya yang masuk akan difokuskan ke bahagian depan retina.

Antara faktor rabun dalam kalangan kanak-kanak adalah penggunaan mata dengan cara yang salah seperti melihat skrin televisyen atau gajet terlalu lama, membaca atau melakukan kerja dalam keadaan tidak cukup cahaya.

Kanak-kanak yang kurang bermain di luar rumah turut berdepan masalah rabun. Namun, miopia juga berlaku disebabkan keturunan.

Menjelang 2050 dianggarkan separuh populasi dunia atau hampir lima bilion penduduk akan terjejas oleh miopia. Walaupun bilangan anggaran agak besar, tetapi pengetahuan mengenai miopia masih sedikit dan kesedaran mengenainya juga rendah.

Ramai orang yang terjejas oleh miopia tidak menyedari ada cara memperbetulkan masalah itu atau mengawal keadaannya pada peringkat awal.

Malaysia seperti di negara lain mencatat kenaikan bilangan kanak-kanak yang mengalami miopia apabila mereka mencapai usia 12 tahun. Bukan hanya sekadar kecacatan penglihatan atau kesulitan yang boleh menjejas pembelajaran di sekolah, bersukan atau hobi.

Miopia juga memberi kesan buruk jangka panjang kerana meningkatkan risiko degeneratif seperti retina tertanggal, perkembangan katarak awal, kemerosotan makula dan glaukoma.

Risiko ini tidak dapat dikurangkan melalui pembedahan refraktif. Miopia memberikan implikasi penting dalam perancangan perkhidmatan penjagaan mata yang komprehensif di seluruh dunia termasuk pengurusan dan pencegahan komplikasi okular yang berkaitan dengan miopia.

Kajian terbaru menunjukkan kemerosotan makula menjadi isu serius terutama di Asia Timur dan ia juga sudah menjadi satu daripada tiga penyebab kebutaan.

Malah, kajian di negara ini menunjukkan bilangan kanak-kanak mengalami miopia sudah mencapai tahap membimbangkan disebabkan kurang kesedaran mendapatkan pemeriksaan mata biasa. Rabun jauh ini juga paling banyak dihidapi komuniti Cina dan Melayu.

Presiden Persatuan Optometri Malaysia (AMO), Woon Pak Seong berkata, mata sihat dengan penglihatan yang baik adalah penting untuk perkembangan akademik kanak-kanak, malangnya jumlah kanak-kanak menghidap miopia adalah tinggi dan lebih malang kebanyakan masalah itu tidak dikesan awal.

Katanya, penyelidik Akademi Oftalmologi Amerika mengesan lebih banyak bentuk miopia yang agresif dikenali sebagai miopia patologikal dalam segelintir kanak-kanak di negara ini yang boleh menyebabkan kerosakan penglihatan kekal jika tidak dikesan awal.

“Kajian dijalankan untuk menilai bilangan masalah penglihatan dan ralat refraktif dalam kalangan kanak-kanak sekolah membabitkan 4,634 pelajar berusia tujuh hingga 15 tahun di Gombak, Selangor pada 2003.

“Dalam jumlah peserta itu, 9.8 peratus kanak-kanak berusia tujuh tahun mengalami miopia, manakala 34.4 peratus pelajar berusia 15 tahun,” katanya ditemui pada Persidangan Ortokeratologi dan Pengawalan Myopia Sedunia (GOMCC) dianjurkan pertama kali oleh AMO dengan kerjasama Essilor iaitu syarikat optik oftalmik terkemuka dunia di ibu negara, baru-baru ini.


PENYELIDIK dan Pembangunan Optik Essilor, Dr Damien Paille (kiri), Dr John dan Woon pada sidang media Persidangan GOMCC.

Woon berkata, dalam kajian lain membabitkan 1,752 kanak-kanak sekolah berusia tujuh hingga 12 tahun di Gombak pada 2006 mendapati pelajar Cina lebih ramai mengalami miopia iaitu 30.9 peratus, diikuti pelajar India (12.5 peratus) dan pelajar Melayu (9.2 peratus).

“Penyelidik di negara ini juga mendapati miopia lebih dialami kanak-kanak pada usia sekolah. Dalam kajian membabitkan 840 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun di 10 sekolah rendah di Kota Bharu, Kelantan mendapati 5.4 peratus daripada peserta mengalami rabun jauh.

“Kajian terhadap 400 kanak-kanak prasekolah berusia empat hingga enam tahun di Kuching, Sarawak pada 2013 pula mendapati 4.5 peratus mengalami masalah penglihatan ini,” katanya.

Sehubungan itu, usaha meneruskan inovasi dalam penyelesaian untuk memperbetulkan dan mengawal miopia suatu misi penting bagi Essilor untuk memberikan kualiti kehidupan lebih baik dengan memperbaiki masalah penglihatan.

Naib Presiden Perkhidmatan Pendidikan dan Profesional Essilor Asia Pasifik, Timur Tengah, Russia dan Afrika, Dr John Ang berkata, sebagai peneraju dunia dalam industri penjagaan mata ia menjadi tanggungjawab syarikat memainkan peranan dalam pengurusan miopia termasuk menawarkan pelbagai penyelesaian terhadap individu dengan rabun jauh.

“Persidangan ini adalah antara langkah kami melengkapkan golongan profesional dengan pengetahuan dan kemahiran penjagaan mata seterusnya kemahiran pengurusan miopia. Ini penting untuk menangani kenaikan bilangan miopia dalam kalangan orang muda.

“GOMCC adalah persidangan pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada pengawalan miopia. Persidangan dua hari itu membentangkan minda klinikal dan penyelidikan utama antarabangsa untuk menemukan 250 orang ahli optometri ke barisan hadapan dalam pengurusan miopia,” katanya.

Tip pengurusan miopia dalam kalangan kanak-kanak

• Banyakkan aktiviti luar rumah sekurang-kurangnya sejam.

• Memakai perlindungan ultraviolet (UV) untuk mata ketika berada di luar rumah.

• Menggunakan gajet pada jarak mata yang selamat dengan postur tubuh yang betul.

• Rehatkan mata setiap 30 minit ketika membaca atau menggunakan gajet.

• Ambil makanan sihat.

• Dapatkan tidur yang cukup.

• Dapatkan pencahayaan yang cukup ketika membaca atau bermain dalam rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:15 AM