Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Satu kajian dalam talian dilakukan bagi mengkaji tingkah laku ketagihan telefon bimbit dan kesedaran mengenai radiasi elektromagnet (EMR) peranti itu dalam kalangan penduduk Malaysia pada 2015.

Hasil kajian mendapati peserta menyedari masalah psikologi dan gangguan kesihatan lain termasuk pada fungsi anggota tubuh seperti masalah telinga dengan 53.8 peratus daripada mereka mengakui rasa tidak selesa pada bahagian itu.

Rata-rata pengguna yang mengambil bahagian menyatakan penggunaan telefon bimbit sekitar sejam hingga tiga jam. Berbanding laporan terkini mendapati lebih 55 peratus pengguna telefon pintar di Malaysia menghabiskan lebih lima jam dan menunjukkan impak yang lebih buruk boleh berlaku terhadap fungsi telinga.

Menurut Pakar Otorinolaringologi UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Ahmad Kusyairi Khalid, fenomena itu diburukkan lagi apabila sebahagian besar pengguna menggunakan fon telinga atau fon kepala bagi tempoh yang panjang.

Katanya, sudah menjadi tabiat rakyat Malaysia mengenakan aksesori telefon seperti fon telinga dan kepala di tempat awam bagi menikmati pengalaman optimum ketika melayari peranti terbabit.


DR Kusyairi

“Mereka yang mengenakan fon telinga atau kepala bagi tempoh enam hingga lapan jam sehari bagi tujuan melayari aplikasi atau laman hiburan boleh terdedah kepada risiko kurang pendengaran.

“Lebih memburukkan keadaan, pengguna secara konsisten mengamalkan tabiat itu untuk tempoh tiga bulan hingga enam bulan. Masalah ini sering berlaku dalam kalangan pesakit muda.

“Kalau dahulu masalah kurang pendengaran dikaitkan dengan faktor putik kapas tersumbat dalam telinga dan sebagainya. Sementara untuk golongan pekerja pula, mereka yang berkhidmat dalam industri tertentu seperti perkilangan, penerbangan, automotif dan keselamatan lebih berisiko.

“Namun keadaan ini sudah berubah kerana ia membabitkan golongan muda bermula dari remaja hingga belia berumur 30-an. Biasanya masalah pendengaran pada golongan muda disebabkan penggunaan fon telinga atau kepala. Oleh kerana tidak mahu tumpuan terjejas dengan bunyi persekitaran, mereka biasanya memperkuatkan bunyi lagu yang didengar melalui telefon.

“Malah golongan ini jugalah yang sering terdedah kepada bunyian kuat lain seperti di konsert. Jika di rumah, gangguan bunyi kuat datang dari radio atau televisyen.

“Selain itu, perubahan sikap orang ramai terlalu bergantung pada teknologi membuatkan penggunaan aksesori berkait dengan telinga iaitu fon telinga dan kepala turut meningkat,” katanya.


ANATOMI telinga.

Secara ringkas anatomi telinga terdiri daripada saluran sempit yang membenarkan gelombang bunyi melaluinya dipanggil telinga luar iaitu saluran telinga ke gegendang telinga.

Pada gegendang telinga ada membran dikenali membran timpanum yang akan bergetar seperti gelombang suara memukulnya. Getaran itu kemudian tiba ke tiga tulang kecil (osikel) di dalam telinga tengah yang berfungsi memperkuat getaran dan mengalirkan gelombang itu kepada telinga dalam.

Di telinga dalam ada organ dipanggil koklea. Ia berupakan sel-sel rambut halus sepanjang dinding dalam yang bergerak sebagai respons terhadap getaran dan mengirim isyarat menerusi saraf pendengaran ke otak.

Namun, kata Dr Kusyairi, dalam situasi penggunaan fon telinga atau kepala terlalu lama ditambah pula frekuensi bunyi didengari terlalu tinggi, struktur atau bahagian tertentu merangkumi telinga luar atau telinga dalam boleh terjejas.

“Getah pada fon telinga dan kepala yang sudah terlalu lama digunakan dan jarang berganti pula boleh menjadi tempat bakteria membiak. Ini akan menyebabkan jangkitan dengan gejala seperti gatal dan telinga seakan-akan tersumbat. Pada tahap serius ia boleh menjadi nanah dan menyakitkan.

“Rawatan yang biasanya diberi bagi masalah berkenaan ialah penggunaan ubat antibiotik untuk dititiskan ke dalam telinga. Tanpa rawatan segera, jangkitan itu boleh menjadi serius.

“Masalah telinga juga biasanya dikaitkan dengan masalah saraf sensori atau sensorineural dan pada konduktif pendengaran. Keadaan itu diterangkan dengan simptom seperti telinga berdesing dan berdengung, tidak boleh mendengar dengan jelas yang menyebabkan individu itu bercakap dengan suara kuat atau nada tinggi berbanding individu yang tiada masalah pada telinga.


MASALAH pendengaran di kawasan konduktif atau telinga luar dan sensorineural.

“Ini boleh dikesan menerusi audiogram dan beberapa ujian pendengaran bagi menguji tahap pendengaran pesakit. Biasanya bunyi dinilai berdasarkan frekuensi iaitu kekuatan bunyi yang diukur dalam unit desibel (dB) dan intensiti atau kenyaringan, Hertz (Hz).

“Biasanya nada orang bercakap sekitar 250Hz hingga 500Hz (sudah nada tinggi). Pendedahan berpanjangan kepada frekuensi lebih tinggi boleh menjejaskan kesihatan telinga. Antara lain, nyaring bunyi didengari mencecah 60Hz dan terlalu cepat juga boleh menyebabkan gangguan pendengaran.

“Biasanya orang menggunakan fon telinga kerana ingin fokus terhadap bunyi daripada telefon dan masalah boleh berlaku apabila kecenderungan meningkatkan aras bunyi untuk mengelakkan gangguan persekitaran (kebisingan).

“Ini boleh menyebabkan masalah pada bahagian dalam telinga termasuklah timpanum, osikel atau tulang telinga mengalami kecederaan dan masalah pada koklea.

“Biasanya ia mengganggu proses di dalam telinga atau sistem berkaitan dengan saraf. Ujian lanjut perlu dilakukan bagi mengenal pasti bahagian mana yang rosak atau cedera untuk rawatan sesuai.

“Untuk membantu meningkatkan fungsi saraf itu, pesakit akan diberikan vitamin B bagi merangsang saraf terbabit. Kaedah lain ialah terapi pendengaran dan jika masalah lebih serius, seseorang itu perlu menggunakan alat bantu dengar,” katanya.

Bagi individu yang menggunakan alat bantuan pendengaran, Dr Kusyairi menasihatkan mereka sentiasa memastikan kebersihannya dengan mencuci alat itu secara berkala untuk mengelak jangkitan bakteria.


PEMERIKSAAN menerusi audiogram.

INFO

Tahap pendengaran

• Normal: 0 - 20 dB

• Kurang Dengar :

- Ringan (kehilangan pendengaran ringan) 21 - 40 dB

- Sederhana (kehilangan pendengaran sederhana) 41 - 70 dB

- Serius (kehilangan pendengaran yang teruk) 71 - 90 dB

- Tuli/Pekak 90 dB

Tip penjagaan telinga (pendengaran):

• Guna alat pelindung telinga ketika di tempat bising. Penutup atau penyumbat telinga dapat meredamkan kebisingan sebesar 15-30 dB jika digunakan dengan baik bergantung pada jenis dan keselesaan di telinga.

• Jangan dengar bunyi bingit atau berada di lokasi bising terlalu lama.

• Ketika mendengar muzik dengan fon telinga, sebaiknya laraskan bunyinya ke aras rendah.

• Untuk peralatan rumah, bagi mengelak gangguan atau pencemaran bunyi, sebaiknya pilih produk boleh mengeluarkan bunyi lebih perlahan.

• Elak untuk tinggikan aras suara televisyen ketika menggunakan peralatan rumah yang turut mengeluarkan bunyi bingit seperti pembersih hampagas atau pengering rambut. Jika anda meninggikan suara televisyen, anda secara sengaja memberikan tekanan terhadap telinga.

• Lengkapkan rumah dengan elemen penyerap bunyian seperti permaidani atau fabrik tebal sebagai tirai.


GETAH fon telinga elok diganti selalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:10 AM