DR ALOYSIUS dan Schulze (kiri) menunjukkan kanta multifokus.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Seiring dengan peningkatan usia, individu akan mengalami situasi yang mana fungsi atau keupayaan anggota dan deria mulai menyusut, tidak terkecuali penglihatan.

Namun, satu fakta yang perlu disedari ialah seawal kelahiran lagi setiap individu mempunyai kecenderungan penglihatan yang berbeza iaitu mempunyai penglihatan jauh atau jarak dekat.

Bagaimanapun, daya penglihatan boleh terjejas berikutan faktor semula jadi iaitu peningkatan usia atau masalah kesihatan lain atau mata itu sendiri.

Antaranya miopia atau penyakit rabun dekat. Kalau ia terjadi disebabkan faktor genetik, keadaan individu ini merujuk kepada mereka yang memiliki bentuk kornea yang terlalu melengkung atau bola mata yang terlalu panjang menyebabkan cahaya difokuskan ke bahagian hadapan retina dan bukannya pada retina seperti yang sepatutnya.

Individu berkenaan terpaksa mengambil langkah rawatan termasuk memakai cermin mata atau kanta lekap bagi membolehkan mereka mempunyai penglihatan yang jelas dan selesa.

Kini ada pilihan lain lebih baik bagi mengatasi masalah berkenaan, kata Ketua Perunding Optalmologi, Katarak dan Pembedahan Refraktif Vista Eye Specilalist, Dr Aloysius Joseph Low, iaitu menerusi pembedahan pertukaran kanta refraktif (RLE).

“Kaedah pembedahan ini sudah dilakukan lebih 10 tahun lalu dan reputasi pembedahan pertukaran kanta refraktif juga dikenali sebagai pembedahan penggantian kanta atau pengekstrakkan kanta terang.

“Ia antara alternatif lebih baik berbanding pembedahan refraktori lain seperti lasik. Malah memberi impak lebih baik kepada pesakit yang mempunyai presbiopia dan hiperopia yang tinggi (pandangan jauh).

“Pertukaran kanta refraktif (RLE) menggantikan kanta semula jadi dengan kanta intraokular tiruan (IOL) bagi memperbetulkan kepekaan refraktif pesakit dan mencapai fokus lebih jitu.

“Sesetengah individu berasa kualiti hidup mereka terjejas berikutan kebergantungan pada pemakaian cermin mata atau kanta lekap. Teknologi kini jauh lebih baik dan pesakit tidak perlu bimbang dengan kesan selepas pembedahan kerana risiko untuk mengalami komplikasi adalah rendah,” katanya.


GRAFIK menerangkan urutan pembedahan penggantian kanta atau lensa semula jadi dengan IOL.

Sementara itu Pengurus Perniagaan (Asia) Oculentis, Oliver Schulze, yang mewakili syarikat pembuatan untuk IOL pula menjelaskan, ketika ini pihaknya berusaha membuat penambahbaikan kualiti kanta tiruan supaya dapat memenuhi keperluan dan kehendak pesakit.

“Kalau 10 tahun lalu penciptaan IOL cenderung membantu jarak fokus penglihatan, dengan inovasi menerusi kanta multifokus tidak saja membantu dalam pelarasan fokus penglihatan lebih baik malah membolehkan mereka menikmati penglihatan selesa ketika melakukan aktiviti seharian termasuk membaca dan melayari aplikasi dalam telefon pintar.

“Ini membuatkan mereka yang menjalani pembedahan penggantian kanta mata semula jadi berasa muda semula apabila dapat melihat dengan jelas dan selesa seperti penglihatan ketika remaja,“ katanya.

Info

• Pembedahan penggantian kanta biasanya mengambil masa 15 hingga 30 minit. Namun pembedahan dilakukan berasingan bagi mata kiri dan kanan.

• Jarak masa seminggu bagi untuk melaksanakan pembedahan kedua-dua mata.

• Pemulihan penuh dijangka seminggu selepas pembedahan termasuk boleh bekerja dan memandu. Dapatkan nasihat pakar bedah terlebih dulu.

• Biasanya individu tidak akan terasa kehadiran IOL di mata sepertimana implan gigi. Ia juga tidak disedari orang lain.

• Kanta buatan adalah untuk penggantian kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:05 AM