Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Musim percutian adalah waktu keriangan buat seisi keluarga yang biasanya diisi dengan mengunjungi destinasi beriadah seperti hutan rekreasi air terjun apatah lagi dalam cuaca panas seperti sekarang.

Apabila berkelah, sudah semestinya membawa bekalan. Malangnya, ramai yang meninggalkan bungkusan dan sisa makanan di tapak perkelahan, sedangkan ia seharusnya dibawa keluar supaya lokasi tumpuan itu sentiasa bersih.

Sikap kurang bertanggungjawab inilah yang mengundang haiwan perosak seperti tikus dan kehadirannya itu boleh menjejaskan kesihatan pengunjung. Ya, di sebalik keindahan taman rekreasi seperti lata air terjun dan aliran sungai jernih, kita terdedah kepada risiko jangkitan penyakit leptospirosis atau kencing tikus.

Satu perkara yang perlu diketahui ialah bakteria Leptospira interrogans adalah organisma mikro yang mempunyai ‘daya juang’ tinggi kerana boleh hidup di air, tanah dan lumpur. Malah ia boleh hidup beberapa bulan lamanya di kawasan tercemar.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan Hospital Pakar KPJ Selangor, Dr Siti Sarah Wahidah Wahid, tempat kotor dan dipenuhi sampah (termasuklah longgokan sampah haram dan tidak teratur) biasa menarik perhatian haiwan vektor seperti tikus untuk membuat penempatan sekali gus menyebarkan bakteria terbabit.

“Bakteria Leptospira interrogans akan menjangkiti haiwan dan hidup di dalam buah pinggangnya. Lalu dikeluarkan melalui air kencing haiwan yang kemudiannya mencemarkan tanah dan air di persekitaran.

“Apabila manusia terdedah kepada air dan tanah yang tercemar menerusi luka terbuka atau mukosa hidung, mulut dan mata, mereka berpotensi dijangkiti penyakit terbabit.

“Di Malaysia, haiwan yang sering dikaitkan dengan penyakit leptospirosis ialah tikus. Oleh sebab itu, penyakit leptospirosis dikenal sebagai penyakit kencing tikus.

“Kalau di pusat rekreasi, kemungkinan penyakit itu dijangkiti akibat bawaan aliran selepas hujan yang melalui tempat sampah yang juga menjadi habitat cencorot atau tikus hutan.

“Begitu juga halnya risiko kawasan yang mengalami banjir, biasanya kawasan saliran seperti longkang sering menjadi tempat tinggal tikus,” katanya.

Gejala perlu diperhatikan

Individu yang menghidap leptospirosis boleh mengalami gangguan kesihatan selama beberapa hari yang mungkin berlanjutan ke minggu atau lebih lama. Tanpa rawatan, proses pemulihan mungkin memakan masa hingga beberapa bulan.

Seseorang yang terdedah kepada persekitaran tercemar boleh mengalami masalah kesihatan dalam tempoh dua hari hingga empat minggu. Gangguan kesihatan ini biasanya bermula secara tiba-tiba dengan demam dan diikuti gejala lain.

Menurut Dr Siti, leptospirosis terbahagi kepada dua fasa. Bagi fasa pertama, gejala yang dialami adalah lebih ringan tetapi inilah waktu yang penting untuk mendapatkan rawatan supaya jangkitan tidak beralih ke fasa kedua.

Langkah pencegahan

Rawatan yang diberi biasanya antibiotik sama ada dalam bentuk oral atau intravena (suntikan). Namun, pencegahan tetap alternatif yang jauh lebih baik. Usaha yang boleh dilakukan termasuk;

• Persekitaran bersih dan terjaga

• Selenggaraan sampah dengan teratur

• Buang sampah ke dalam tong tertutup

• Sisih sampah ikut jenis iaitu kertas, kaca, aluminium, sampah umum dan lain-lain

• Buat tempat pelupusan sampah jauh dari komuniti manusia.

• Pertingkatkan penjagaan kebersihan diri iaitu tabiat membasuh tangan dan kaki selepas menguruskan sampah.

• Hindari sentuhan dengan haiwan terbiar seperti anjing, kucing dan sebagainya.

Secara umum pesakit tidak perlu kuarantin. Hanya pesakit perlu menjaga kebersihan diri disebabkan bakteria itu akan dikeluarkan melalui air kencing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:00 AM