PEMAKANAN sihat bantu mengurangkan risiko.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Sering kali dikaitkan dengan keadaan kesihatan negatif, kolesterol sebenarnya memiliki fungsi penting dalam sistem tubuh manusia.

Walaupun kolesterol sinonim dengan penyakit jantung, kolesterol memainkan peranan seperti menjadi asas binaan membran sel, pengeluaran hormon dan sebatian tertentu bagi membantu proses pencernaan lemak.

Kolesterol adalah bahan berlilin yang terhasil daripada dua sumber, tubuh atau lebih spesifik, organ hati, yang mengeluarkan hampir 70 peratus kolesterol dalam badan dan makanan daripada sumber haiwan.

Penghasilan kolesterol oleh hati lebih banyak sekiranya individu mengamalkan diet pemakanan tinggi dengan lemak tepu dan lemak trans.

Kolesterol terbahagi kepada dua jenis utama, lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) yang dikategorikan kolesterol ‘jahat’ dan lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) atau kolesterol ‘baik’.

Apabila berlaku hiperkolesterolemia, atau kolesterol terlalu banyak di dalam darah, ia disimpan di dalam arteri membuatkan saluran darah menjadi sempit dan arteri seterusnya mengeras, sekali gus menyekat aliran darah secara normal.

Semakin tinggi kadar LDL, semakin tinggi risiko mendapat penyakit jantung atau serangan jantung.

Hiperkolesterolemia boleh mengakibatkan pelbagai penyakit kardiovaskular dan sekiranya tidak dirawat, ia mengundang masalah kesihatan serius, malah kematian.

Penyakit ini tidak mempunyai apa-apa gejala dan kebanyakan pesakit tidak menyedari masalah kesihatan ini melainkan mereka menjalani pemeriksaan rutin.

Pakar Perunding Kardiologi, Prof Dr Chee Kok Han berkata, ramai rakyat Malaysia menghidapi masalah hiperkolesterolemia tetapi tidak menyedari tahap kesihatan mereka kerana penyakit ini tidak memperlihatkan simptom tertentu.


HIPERKOLESTEROLEMIA berlaku apabila terlalu banyak kolesterol di dalam darah.

“Laporan Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati sebanyak 47.7 peratus rakyat Malaysia menghidapi hiperkolesterolemia (kolesterol tinggi), jika dibandingkan dengan hanya 32.6 peratus prevalen hiperkolesterolaemia pada 2011.

“Ramai antara mereka tidak langsung mengalami apa-apa gejala, mereka tidak menyedari bahawa aras kolesterol dalam darah sebenarnya tinggi.

“Perkara ini (ketiadaan simptom) menyebabkan sukar untuk mengesan hiperkolesterolemia pada peringkat awal, seterusnya mengenal pasti rawatan lanjut yang perlu dijalani pesakit. Hiperkolesterolemia dapat dikawal melalui pengambilan ubatan.

“Buat masa ini, penggunaan statin dalam rawatan hiperkolesterolemia dapat mengurangkan pengeluaran kolesterol di dalam hati. Agen bukan statin, ezetimibe, pula bertindak menghalang penyerapan kolesterol ke dalam usus.

“Kombinasi dua mekanisma ini dapat membantu pesakit mencapai tahap kadar kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL-C) yang bersesuaian dengan tubuh masing-masing. Malah risiko penyakit kardiovaskular dapat dikurangkan,” katanya.

Menurut Dr Chee, monoterapi statin adalah rawatan paling biasa digunakan bagi merawat hiperkolesterolemia, sebaliknya jika rawatan dilakukan pada intensiti tinggi boleh menyebabkan kesan sampingan serta menjejaskan tahap pematuhan pesakit terhadap rawatan berkenaan.

Oleh kerana statin hanya mengurangkan kadar pengeluaran kolesterol di dalam hati, sukar buat pesakit mencapai tahap LDL-C yang diperlukan kerana usus bertindak menyerap kolesterol daripada makanan yang dihadamkan.


DR CHEE

Memetik laporan ‘The Return Expenditure Achieved for Lipid Therapy (REALITY)’, Dr Chee berkata, pesakit berisiko tinggi tidak dapat mencapai sasaran rawatan dengan monoterapi statin walaupun pemberian dos statin tinggi.

Hasil kajian klinikal antarabangsa (Improved Reduction of Outcomes: Vytorin Effects International Trial) pada 2015, mendapati terapi gabungan (statin dan bukan statin) berjaya merendahkan kadar LDL-C sebanyak 24 peratus.

Malah gabungan ini juga berjaya mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular bagi pesakit jantung koronari dan mereka yang mempunyai sejarah sindrom koronari akut (ACS) jika dibandingkan monoterapi statin.

Penyakit hiperkolesterolemia terjadi mungkin disebabkan faktor genetik, penghasilan kadar kolesterol yang melampau atau kegagalan mengeluarkan LDL dalam darah.

Dikatakan satu dalam 500 orang mewarisi masalah genetik yang disebut hiperkolesterolemia familial, yang mengalami kadar pengeluaran kolesterol yang tinggi.

Gaya hidup berisiko hiperkolesterolemia:

1.Diet tidak sihat

• Pengambilan makanan yang tinggi lemak tepu dan lemak trans

2.Gaya hidup tidak aktif

• Kurang melakukan aktiviti fizikal menambah berat badan dan meningkatkan kadar kolesterol yang tinggi.

3. Obes

4. Genetik

• Sekiranya anda mempunyai sejarah keluarga yang kolesterol tinggi di dalam darah, besar kemungkinan anda juga menghadapinya.

• Risiko kolesterol tinggi di dalam darah boleh meningkat jika anda menggabungkan pilihan gaya hidup tidak sihat seperti amalan pemakanan tidak sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 12:05 AM