Prof Madya Dr Nizar Abdul Jalil

Saya menghadapi vertigo sejak setahun lalu. Ini menyebabkan saya pening jika menunduk. Saya sudah mendapatkan rawatan di banyak hospital tetapi masih tiada perubahan.

Awalnya, doktor mendiagnos masalah vetebro-basilar artery insufficiency, kemudian vestibular neuronitis dan iagnos labrynthitis.

Sekarang ini saya tidak boleh salah baring. Kalau tunduk kepala saya akan mula rasa tidak stabil. Leher saya dulu tegang urat sedikit, tetapi lega selepas diurut. Saya juga selalu rasa lenguh bahagian belakang pangkal kepala. Doktor kata sebab darah tinggi, tetapi tekanan darah saya hanya pada tahap 130/90 mmHg.

Saya mengalami tekanan kerana penyakit ini mengganggu kerja hingga prestasi merudum. Banyak kali terpaksa mengambil cuti sakit dan apabila mengadu kurang sihat, ramai yang tidak percaya. Saya macam orang yang hilang upaya sedangkan secara fizikal saya bertubuh sasa dan nampak sihat.

Antara gejala dialami, pening ketika memandu, telinga rasa tersumbat dan berdesing, fobia di tempat ramai orang dan suasana bising, tidak tahan cuaca panas, jantung tiba-tiba rasa berdebar, tidak boleh berdiri, berjalan atau berlari terlampau lama sebab akan rasa tidak stabil.

APA yang anda alami ialah gejala klasik sakit sendi faset tengkuk (sindrom servikal faset). Penyakit ini memang banyak berlaku disebabkan manifestasi penuaan pada tulang belakang servikal.

Penyakit sendi faset tengkuk ini boleh memberi gejala utama yang berbeza, tetapi gejala asas biasanya sakit pada tengkuk dan bahu serta pening. Bagaimanapun, gejala sampingannya banyak.

Semua masalah yang anda alami adalah gejala sampi­ngan penyakit ini. Gejalanya juga boleh menyerupai pe­nyakit lain seperti gangguan pendengaran, hidung, penglihatan, perut, jantung, migrain, darah tinggi, saraf dan lain-lain.

Pemeriksaan dilakukan oleh doktor pakar pada organ berkenaan akan menghasilkan keputusan yang normal. Malah, rawatan simptomatik yang diberikan juga tidak berkesan. Disebabkan anda mula risau dan terus-menerus mengasak doktor dengan gejala terbabit, maka tidak hairanlah nanti doktor akan merujuk anda kepada pakar psikiatri.

Memang penyakit ini banyak memberikan impak psikososial yang teruk. Semua orang tidak percaya anda sakit termasuk pasangan. Ini kerana, mereka tidak nampak bukti fizikal. Mereka lihat anda makan macam biasa, tetapi anda tidak mampu buat tugasan dan asyik ambil cuti sakit menyebabkan rakan sekerja mula membenci.

Anda pula sukar hendak jelaskan kepada mereka. Jadi hidup anda tertekan, sedih dan risau kerana anda seolah-olah macam orang hilang upaya sedangkan secara fizikal nampak sihat. Paling teruk berlaku jika anda dirujuk kepada lembaga perubatan untuk ditamatkan perkhidmatan jika berterusan begitu.

Tetapi anda jangan risau kerana rawatan suntikan radiofrekuensi (RF) pada sendi faset ini adalah rawatan standard yang diamal di seluruh dunia. Kejayaannya memberangsangkan sehingga 80 peratus. Semua gejala dialami bertahun-tahun itu akan beransur hilang dalam beberapa hari saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 3:46 AM