Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


KEMEROSOTAN kesihatan pesakit yang ditempatkan di wad hospital sering tidak disedari dalam tempoh yang lama. Kelewatan ini boleh menyebabkan berlaku serangan jantung dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) yang sebenarnya boleh dicegah.

Apabila hal ini berlaku, ia dilabel sebagai ‘kegagalan untuk menyelamat’ berikutan dalam kebanyakan kes, perubahan tanda-tanda penting pada pesakit sekiranya dapat dikesan awal boleh mengenal pasti risiko bakal dihadapi.

Dalam usaha mengurangkan insiden dan akibat daripada kelewatan menyedari kemerosotan kesihatan pesakit, rata-rata hospital kini dilengkapi sistem skor amaran awal automatik atau dikenali sebagai Early Warning Score (EWS).

Sistem ini membekalkan cara yang biasa difahami untuk mengenal pasti tahap kemerosotan mahupun perkembangan baik status kesihatan pesakit sekali gus memastikan setiap pesakit yang menunjukkan amaran masalah kesihatan diperiksa pada masa yang tepat oleh pakar.

EWS berasaskan pengumpulan maklumat daripada kombinasi tanda-tanda penting termasuk kadar jantung, pernafasan, ketepuan oksigen, tekanan darah dan suhu badan. Sistem amaran ini akan membantu menentukan tahap masalah kesihatan pesakit dengan segera dan secara konsisten.

Ini membolehkan pasukan perubatan bertindak pantas dan memberikan penjagaan mencukupi kepada pesakit sebelum komplikasi lebih buruk berlaku. Kesihatan pesakit boleh merosot dengan cepat walaupun dalam tempoh pemantauan, oleh itu sistem ini mampu memberi amaran terhadap apa yang berlaku terhadap pesakit.

Teknologi memainkan peranan amat besar membantu pihak hospital dan organisasi penjagaan kesihatan menggunakan EWS untuk mengesan kemerosotan kesihatan pesakit dan menyokong kaedah menanganinya sebelum pesakit menderita lebih teruk.

Bagi meningkatkan penjagaan pesakit, Pusat Pakar Perubatan Bagan (BSC) di Butterwoth, Pulau Pinang dengan kerjasama Royal Philips menjadi hospital pertama di Asia Pasifik melaksanakan sepenuhnya EWS dengan teknologi Philips IntelliVue Guardian Solution yang baru.

Sistem ini mempamerkan cara aliran kerja penjagaan kesihatan yang automatik dapat meningkatkan keselamatan pesakit, membolehkan kecekapan dan memudahkan tugas kakitangan serta pasukan pengurusan hospital.

Ketua Pegawai Eksekutif BSC, Dr Tan Hui Ling berkata, sistem berkenaan dilengkapi peralatan pemantauan tanda-tanda penting membantu pasukan perubatan mengenal pasti perubahan pesakit dengan cepat dan seterusnya bertindak pada waktu yang tepat.

Ia dapat menangani cabaran dihadapi pasukan perubatan di wad umum apabila mereka perlu kerap mengambil tanda-tanda penting keadaan pesakit dalam jangka masa terhad.

“Memiliki alat automatik yang memberikan pandangan komprehensif keadaan pesakit membantu mengenal pasti kemerosotan kesihatan pesakit dengan lebih awal.

“Penggunaan sistem ini meningkatkan kecekapan aliran kerja dengan memudahkan proses dokumentasi perubatan, di samping menggunakan sumber tenaga yang terhad kepada penjagaan pesakit secara berpusat,” katanya ditemui pada majlis pelancaran penggunaan sistem skor amaran awal itu, baru-baru ini.

Pelancaran disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan. Turut hadir, Pengerusi BSC, Datuk Dr Tan Chong Siang dan Pengurus Besar Sistem Kesihatan Philips Asia Pasifik, Diederik Zeven.

Dr Tan berkata, sistem itu bukan sekadar membantu pasukan penjagaan kesihatan membuat ukuran bahkan menilai dan mendokumenkan tanda-tanda penting kesihatan pesakit serta pemerhatian lain.

Ini sekali gus menghapuskan banyak langkah manual dan memastikan ketepatan maklumat. Oleh itu, lebih banyak masa ditumpukan kepada penjagaan pesakit. Peralatan yang ringan tanpa kabel juga membantu mendapatkan data pesakit kritikal tanpa mengehadkan pergerakan mereka.

Di samping itu, pelaksanaan penyelesaian cara kerja klinikal Philips CareEvent dapat memastikan perubahan pesakit disampaikan segera kepada pasukan perubatan menerusi telefon pintar mereka.

Hal ini membolehkan amaran dinilai dengan pantas dan tindakan segera diambil jika perlu, dengan itu ia dapat mengoptimumkan masa pasukan perubatan dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pesakit memerlukan jagaan kritikal tepat pada masanya.

“EWS banyak membantu mengubah cara aliran kerja pasukan perubatan dengan menyediakan maklumat tepat untuk bertindak dengan lebih pantas.

“Dengan akses segera kepada tanda-tanda awal penting pesakit, kami mengurangkan kelewatan masa rawatan yang membolehkan kakitangan bertindak balas untuk menyelamatkan pesakit,” katanya.

Katanya, sistem itu juga membantu mengoptimumkan kemahiran dan kepakaran kakitangan hospital. Oleh itu secara automatik ia memperuntukkan kemahiran yang betul kepada kakitangan di mana kepakaran mereka amat diperlukan.

“Kami membayangkan akan menjadi hospital pilihan bagi penjagaan kesihatan berkualiti yang berpatutan, berasaskan nilai di Pulau Pinang dan di utara Semenanjung Malaysia. Oleh itu, kami sentiasa mencari kaedah baru untuk meningkatkan kualiti kemudahan dan perkhidmatannya.

“Hospital di seluruh dunia yang menggunakan kaedah ini dapat mengurangkan serangan jantung yang tidak dijangka, memendekkan masa pesakit tinggal di hospital dan mengurangkan pemindahan pesakit ke ICU,” katanya.

Sementara itu, Diederik berkata, pihaknya merealisasikan masa depan penjagaan kesihatan dengan menyediakan sistem penjagaan pesakit pintar dan sistem kecerdasan klinikal di mana dan bila ia diperlukan.

“Dengan pengalaman dan kepakaran kami, merentasi ekosistem kesihatan dan kaedah yang inovasi, ini bermakna kami boleh menganjurkan penjagaan kesihatan.

“Ini dapat membantu hospital mencapai tahap kepuasan dan pengalaman lebih baik kepada pesakit, mengurangkan kos rawatan serta meningkatkan kepuasan pasukan perubatan lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 3:30 AM