JURUTERAPI membantu membetulkan postur tubuh menggunakan bola senaman.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Satu kajian dilakukan pada 2010 membabitkan perkampungan di utara Semenanjung mendapati kadar kemurungan dalam kalangan warga emas mencecah 30.1 peratus.

Punca mereka mengalami masalah berkenaan disebabkan kesunyian kerana tiada ahli keluarga di sisi.

Dijangka jumlah peratusan lebih tinggi bagi mereka di pusat jagaan termasuklah Rumah Orang Tua Kenanga, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Justeru, peranan aktif perlu dimainkan untuk memberi sokongan sosial bagi memastikan mereka menikmati kualiti hidup lebih baik.

Menyedari isu terbabit, Pusat fisioterapi Flex Physiotherapy di Wakaf Che Yeh mengambil inisiatif menyantuni penghuni rumah jagaan berkenaan diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Muhamad Zahid Wan Zulkefli.

Wan Muhamad Zahid berkata, kebanyakan penghuni rumah jagaan berusia 65 hingga 90 tahun tidak mempunyai akses rawatan fisioterapi mencukupi atas faktor kekurangan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang terbabit.

“Secara umum, kesedaran terhadap fungsi dan kepentingan fisioterapi masih kurang dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Jadi tidak hairanlah pusat jagaan seperti rumah kenangan berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan fisioterapi.

“Kakitangan sedia ada tidak mencukupi bagi menampung keperluan lain termasuklah dalam hal menguruskan diri.

“Ketika melakukan pemeriksaan jasmani membabitkan aspek kekuatan otot kaki, tangan dan fungsi kehidupan harian bersama penghuni, 60 peratus memerlukan sokongan penuh kakitangan.

“Melalui pembabitan pengusaha pusat fisioterapi persendirian, diharap dapat membantu memberi sokongan kepada warga emas di pusat jagaan untuk mendapat rawatan lebih baik, selain membantu meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Menurutnya, seiring dengan peningkatan umur, struktur fungsi dan aras molekular badan akan berubah termasuk organ utama sehingga menjejaskan aktiviti serta pergerakan penghuni rumah jagaan berkenaan.


PERLU jalani senaman untuk meningkatkan fungsi otot.

“Contohnya perubahan sistem saraf menyebabkan masalah kognitif seperti nyanyuk, manakala sistem kardiovaskular pula memberi kesan kepada tekanan darah.

“Begitu juga dengan sistem otot dan tulang yang selalunya dikaitkan dengan lemah serta osteoporosis.

“Tanpa disedari, ia meningkatkan risiko untuk terjatuh akibat hilang keseimbangan ketika berjalan dan berdiri.

“Inilah sebabnya ramai warga tua mengalami keretakan tulang akibat terjatuh dan ia menjejaskan kebolehan mereka bergerak.

“Melalui fisioterapi, keadaan kronik seperti radang sendi lutut dan strok dapat dikawal menerusi senaman regangan, selain pendedahan mengenai penjagaan postur dalam pergerakan harian.

“Senaman yang kami jalankan di Rumah Kenanga biasanya senaman kardiovaskular.

“Ia untuk memastikan warga emas bergerak aktif mengikut kemampuan dan mengelak mereka terlalu duduk atau berbaring.

“Antara senaman kami sarankan berjalan 15 minit mengelilingi kawasan kediaman atau melakukan aktiviti pembersihan seperti menyapu lantai dan memotong rumput di halaman rumah.

“Ia melancarkan peredaran darah dan metabolik tubuh, sehingga boleh mengelakkan risiko penyakit tidak berjangkit.

“Selain senaman kardiovaskular, senaman regangan anggota atas dan bawah juga penting untuk mengelakkan otot-otot menjadi tegang.

“Kami menggunakan alatan seperti getah senaman atau getah regang, dumbel dan bola senaman untuk regangan leher, bahu, pinggang serta kaki bagi membantu membina kekuatan otot kaki dan tangan.

“Ini dilakukan 10 hingga 15 kali ulangan dan berehat selama dua atau tiga minit. Senaman terakhir ialah senaman koordinasi badan menggunakan bola untuk meningkatkan kemampuan warga emas menggabungkan pelbagai pergerakan dan mengawal keseimbangan,” katanya.


SENAMAN otot tangan.

Wan Muhamad Zahid berkata, dalam tempoh tiga jam, dia dibantu dua sukarelawan hanya sempat memberi khidmat kepada 12 penghuni berbanding 100 di rumah jagaan terbabit.

“Program ini julung kali kami adakan dan ketika ini hanya sebilangan kecil penghuni mendapat manfaat berikutan kapasiti kami yang terhad.

“Saya harap lebih ramai ahli fisioterapi turut memulakan sumbangan komuniti sosial sebegini yang akan memberi kesedaran umum mengenai kepentingan rawatan dan program rehabilitasi.

“Pihak kami mahu mengadakan program sebegini setiap bulan supaya lebih ramai penghuni rumah kebajikan dapat menikmati rawatan sokongan dalam membantu kelangsungan mereka menjalankan aktiviti harian dengan lebih efektif,” katanya.

Dia turut mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan untuk menyertai program anjuran beliau termasuklah projek komuniti lain iaitu senaman aerobik ringan untuk pesakit strok di Pantai Cahaya Bulan pada setiap pagi Jumaat.


MENGGUNAKAN dumbel untuk tingkatkan fungsi otot tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 12:21 AM