Khairul Naim Zainal Abidin

Malaysia antara negara tersenarai sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan terbaik di dunia. Pihak kerajaan dan swasta menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang meluas dan mencakupi kawasan di bandar serta luar bandar.

Sistem fasiliti penjagaan kesihatan di Malaysia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu primer, sekunder dan tertier.

Fasiliti kesihatan primer berfungsi menyaring kesihatan individu dan memberikan rawatan awal bagi penyakit kronik serta penyakit akut. Fasiliti kesihatan sekunder dan tertier pula berfungsi memberikan rawatan lanjut kepada pesakit sekiranya rawatan yang diperlukan tidak dapat disediakan fasiliti kesihatan primer.

Segelintir pesakit yang mengalami masalah kesihatan perlu mendapatkan rawatan pakar perubatan di hospital pakar.

Selain itu, sebahagian prosedur seperti pembedahan pintasan salur jantung hanya boleh dijalankan di hospital pakar. Sekiranya rawatan dan prosedur berkenaan perlu dilakukan di hospital, pesakit perlu dimasukkan ke dalam wad di hospital.

Pesakit yang mendapatkan rawatan dan menginap di wad dikategorikan pesakit dalam, berbeza dengan pesakit luar yang datang ke fasiliti kesihatan serta pulang ke rumah pada hari sama.

Sekiranya pesakit mengambil ubatan tertentu secara tetap seperti untuk rawatan kencing manis, tekanan darah tinggi, asma, penyakit jantung dan sebagainya, pesakit digalakkan membawa ubatan berkenaan serta rekod atau buku perubatan serta kad alahan yang ada apabila memasuki wad.

Membawa ubatan dan rekod perubatan ke wad akan membantu pasukan pakar perubatan untuk mengetahui maklumat sejarah perubatan pesakit supaya rawatan optimum dapat diberikan kepada pesakit.

Sejarah perubatan itu termasuklah sejarah ubatan sedang diambil dan pernah diambil oleh pesakit serta maklumat alahan dan kesan sampingan ubat yang pernah dialami pesakit.

Pengambilan sejarah ubatan selalunya akan dilakukan pegawai farmasi klinikal yang bertugas di wad.

Membawa ubatan, rekod perubatan dan kad alahan apabila memasuki wad tidak saja membolehkan pakar perubatan mendapat gambaran jelas berkaitan sejarah perubatan dan masalah kesihatan pesakit, malah membantu elakkan kejadian alahan ubat.

Contohnya, pesakit yang mempunyai masalah jangkitan kuman tetapi alah terhadap kumpulan antibiotik tertentu. Jika maklumat alahan ubat diketahui lebih awal, pakar perubatan boleh merancang untuk menggunakan antibiotik daripada kumpulan lain sebagai alternatif rawatan.

Selain itu, bagi pesakit yang pernah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan tertier seperti hospital swasta, ada sebahagian ubatan yang digunakan berbeza dengan ubatan yang digunakan di fasiliti kesihatan tertier lain.

Ini termasuk jenis sediaan dosej (contohnya tablet metformin dan metformin extended release) dan jenama ubat.

Selain itu, sebahagian ubatan yang disediakan di satu-satu hospital pakar tiada di hospital pakar yang lain. Oleh itu, dengan membawa ubatan sendiri ke wad akan membantu pakar perubatan mengenal pasti jenis ubat yang diambil supaya rawatan sesuai dapat diberi.

Apabila membawa ubat ke wad, pesakit boleh berbincang dengan pegawai farmasi atau pegawai perubatan sekiranya mereka mengalami apa-apa masalah seperti kesan sampingan akibat jenis ubat tertentu.

Pegawai farmasi dapat mengenal pasti jenis ubat dengan tepat sekiranya ubat itu dibawa bersama-sama pesakit, seterusnya membolehkan mereka mencadangkan ubat alternatif yang lain kepada pakar perubatan bagi merawat pesakit.

Malah, ubatan tradisional dan suplemen berkhasiat yang diambil pesakit juga digalakkan untuk dibawa bersama-sama ke wad.

Pegawai farmasi klinikal boleh mengenal pasti sekiranya ubatan tradisional itu menyumbang kepada masalah kesihatan pesakit (contoh: produk dicemari racun berjadual dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan) atau sekiranya ubatan itu berpotensi berinteraksi dengan ubat moden yang diambil pesakit.

Kesimpulannya, sejarah ubatan pesakit penting untuk membantu pakar perubatan merancang rawatan pesakit. Jadi, penting untuk pesakit membawa ubatan yang diambil, rekod perubatan dan kad alahan ketika menjalani rawatan di wad hospital.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722, Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pegawai Farmasi Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 12:20 AM