PUNCA penyakit Parkinson belum dikenal pasti.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Selepas 32 tahun bertarung dengan penyakit kronik degeneratif, Parkinson, Cassius Marcellus Clay Jr menghembuskan nafas terakhir pada Jun 2016 apabila berlaku komplikasi pernafasan di sebuah hospital di Arizona, Amerika Syarikat (AS).

Cassius Clay atau lebih dikenali sebagai Muhammad Ali, legenda tinju dunia yang juga ikon abad ke-20 meninggal dunia ketika usianya mencecah 74 tahun selepas didiagnosis menghidap penyakit saraf progresif itu pada 1984.

Parkinson adalah sejenis penyakit yang mampu melemahkan kebolehan fungsi tubuh dan mental, malah ia menjadi semakin kronik seiring dengan peredaran masa.

Antara gejala dialami pesakit Parkinson adalah menggeletar atau gegaran (tremor) badan, pergerakan semakin lambat dan otot mulut menjadi lemah.

Simptom ini menjejaskan keadaan pesakit seperti kesukaran untuk berjalan, bangun daripada keadaan duduk, bercakap, mengunyah, menelan makanan malah risiko hilang ingatan (dementia).

Punca berlakunya penyakit Parkinson tidak diketahui hingga kini, namun ramai mengaitkannya dengan faktor persekitaran dan genetik.

Memberi kesan kepada otak dan struktur sistem saraf periferal, Parkinson terjadi apabila berlakunya kekurangan bahan kimia (neurotransmiter) dalam otak dipanggil dopamin.

Dopamin ini berfungsi menghubungkan sel otak antara satu sama lain, seterusnya mengawal pergerakan badan yang sempurna.

Pakar Terapi Fizikal dan Neurologi Klinikal AS, Dr Claire McLean berkata, menerusi beberapa siri kajian dilakukannya menunjukkan pesakit yang mengikuti program senaman tertentu berupaya mempertingkatkan pergerakan masing-masing.

“Berdasarkan beberapa ujian klinikal dilakukan doktor, pesakit didiagnosis penyakit Parkinson akan melalui keadaan yang progresif meskipun ia berlaku secara perlahan-lahan.

“Meskipun pesakit mempunyai jangka hayat seperti mereka yang tidak menghidapi penyakit Parkinson, namun kualiti hidup dan pergerakan pesakit sangat terhad.

“Antara simptom dialami adalah menggeletar dan pergerakan yang perlahan (bradikinesia) namun bukan semua pesakit akan mengalami situasi ini.

“Selalunya kelompok masyarakat berusia sekitar 60 tahun ke atas sering tidak menyedari simptom seperti ini berkait rapat dengan Parkinson, sebaliknya menganggap ia disebabkan faktor peningkatan usia.

“Merujuk kepada keberkesanan senaman mengawal penyakit Parkinson, saya memperkenalkan dua jenis program berbeza seiring dengan penyelidikan yang dilakukan, iaitu aerobik dan senaman berasaskan kemahiran.

“Senaman aerobik berupaya meningkatkan aliran darah ke otak seterusnya membekalkan nutrisi baik diperlukan otak.

“Manakala senaman berasaskan kemahiran pula merangkumi latihan mengasah kemahiran seperti bermain alat muzik, sukan atau mempelajari bahasa baru membuatkan perubahan positif berlaku dalam otak.

“Hasil daripada dua program ini menunjukkan maklum balas positif bagi fungsi otak dan pergerakan serta postur pesakit Parkinson.

“Keputusan positif ini sebenarnya bergantung kepada individu. Tidak dinafikan ada pesakit mengalami tindak balas positif dengan hanya mengikuti satu sesi latihan.

“Tetapi kita menetapkan tempoh antara satu hingga enam bulan bagi menyaksikan perkembangan pesakit yang melakukan senaman atau program secara rutin kerana ia adalah proses berpanjangan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


MENGGELETAR satu daripada simptom Parkinson.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan ReGen Rehabilitation, Prof Dr Lydia Abdul Latif mengakui sesi rehabilitasi bagi pesakit Parkinson jarang dibicarakan berbanding rehabilitasi bagi pesakit strok.

Jelasnya, pengambilan ubatan hanya mampu membawa perubahan terhad kepada pesakit Parkinson.

Beliau juga menyifatkan senaman adalah asas bagi rawatan Parkinson, namun tidak ramai menyedari manfaat aktiviti fizikal dan rawatan rehabilitasi berupaya memulihkan fungsi badan terutama pergerakan dan postur.

Pengarah terapinya, Chelvi Muniandy berkata, senaman boleh merangsang penghasilan dopamin di dalam otak yang menghantar isyarat pergerakan kepada sel otak.

Katanya, tindak balas menggeletar yang sering berlaku terhadap pesakit Parkinson disebabkan penghantaran mesej oleh dopamin tidak sampai ke otak, seterusnya membuatkan pergerakan tersekat sekali gus menghasilkan gegaran.

“Parkinson membuatkan pesakit berada dalam situasi kesukaran bergerak malah ia mendatangkan risiko pesakit terjatuh.

“Menerusi fisioterapi atau senaman, pesakit boleh memperbaiki postur badan, mengawal pergerakan dan merangsang pengeluaran dopamin dalam jangka masa panjang.

“Disarankan mereka melakukan senaman sekurang-kurangan 30 minit sehari, bukan saja di pusat rehabilitasi bahkan di rumah dengan aktiviti mudah.

“Mungkin ada segelintir pesakit menganggap latihan terapi atau senaman disarankan tidak bersesuaian dengan keadaan fizikal mereka, tetapi sebenarnya ada beberapa kaedah berbeza untuk membantu setiap orang,” katanya.


PELBAGAI kaedah senaman sesuai dilakukan pesakit Parkinson.

Tahap penyakit Parkinson:

Tahap 1

• Pesakit mempunyai gejala ringan yang tidak mengganggu aktiviti harian.

• Pesakit mengalami getaran atau gegaran di sebelah sisi badan saja.

• Berlaku perubahan postur berjalan dan ekspresi wajah.

Tahap 2

• Gejala menjadi semakin teruk seperti gegaran dan pergerakan lain menjejaskan kedua-dua belah badan.

• Mengalami masalah berjalan dan postur tubuh tidak sempurna mula kelihatan.

• Pesakit masih boleh hidup sendirian, namun aktiviti harian menjadi lebih sukar dan mengambil masa lama untuk dilakukan.

Tahap 3

• Pesakit mula hilang keseimbangan badan dan pergerakan menjadi perlahan. Mereka mudah terjatuh.

• Gejala dialami menjejaskan aktiviti seperti berpakaian dan makan.

Tahap 4

• Gejala menjadi semakin teruk dan mengehadkan pergerakan.

• Ada segelintir pesakit memerlukan alatan bantuan berjalan untuk berdiri.

• Pesakit memerlukan pertolongan untuk melakukan kegiatan kehidupan harian dan tidak boleh hidup sendirian.

Tahap 5

• Pesakit mengalami kekakuan di bahagian kaki dan membuatkannya sukar berdiri mahupun berjalan.

• Pesakit memerlukan kerusi roda atau hanya berbaring di atas katil.

• Memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa bagi melakukan semua aktiviti.

• Pesakit juga mungkin mengalami halusinasi.

Senaman mudah yang boleh dilakukan pesakit Parkinson:

• Berjalan-jalan di luar rumah atau kompleks beli-belah, berjalan pantas atau di atas mesin anjakan pada kelajuan berbeza

• Menari

• Yoga

• Tai chi

• Latihan melangkah melalui halangan

• Berjalan sambil mendengar muzik dan melakukan senaman tangan

• Sukan seperti ping pong, golf, tenis

• Aerobik

• Menaiki tangga

• Mendaki bukit menggunakan tongkat

• Berenang dengan gaya berbeza dengan senaman mata terbuka dan tertutup

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 12:10 AM