SAHUR dan sarapan perlu mengandungi hidangan seimbang sebagai permulaan hari.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Kurang dua minggu lagi, umat Islam seluruh dunia meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak dan setiap tahun, kanak-kanak berusia seawal tujuh hingga sembilan tahun akan menunaikan ibadat puasa buat pertama kalinya.

Dalam mendidik anak kecil menjalankan kewajipan, ibu bapa berdepan dengan cabaran dan kesulitan untuk menyediakan tenaga mencukupi buat kanak-kanak dan mendapat nutrisi lengkap sekali gus menahan lapar sehingga masuknya waktu Maghrib.

Tambahan pula, kanak-kanak dalam kelompok usia ini memerlukan sumber tenaga dan makanan berkhasiat bagi membantu proses tumbesaran dan perkembangan mental yang sihat.

Ibu bapa bekerjaya hari ini tidak saja mengalami kekangan masa bahkan kesukaran untuk menerangkan kepentingan pengambilan makanan bernutrisi terutama ketika bersahur kepada anak-anak.

Pakar nutrisi, Surainee Wahab berkata, kanak-kanak sememangnya mempunyai masalah untuk bangun bersahur, justeru ibu bapa perlu menerangkan kepada anak kepentingan bersahur bagi memastikan mereka kekal aktif sepanjang hari.

“Ketika tidur, kita menggunakan kira-kira 80 peratus tenaga, justeru sarapan mahupun bersahur pada Ramadan sangat penting untuk mengembalikan semula tenaga yang hilang itu.

“Secara umumnya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2014 mendapati 93.7 peratus rakyat Malaysia mengambil sarapan sekali gus membuktikan kepekaan tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan sarapan.

“Manakala kajian NHMS 2017 pula mendapati prevalen pengambilan sarapan untuk tujuh hari seminggu dalam kalangan remaja (10 hingga 17 tahun) hanya 30 peratus, jauh lebih rendah berbanding orang dewasa.

“Punca utama remaja jarang mengambil sarapan kerana mereka tidak mempunyai selera dan juga tiada masa untuk makan.

“Sarapan ataupun bersahur penting terutama bagi kanak-kanak yang mula belajar berpuasa. Selain memberi tenaga, ia juga membekalkan nutrien untuk perkembangan dan pertumbuhan mereka yang masih dalam fasa perkembangan, kekal aktif, peka dan fokus ketika belajar mahupun bermain,” jelasnya.

Kedatangan Ramadan bukanlah halangan dalam membantu kanak-kanak mendapatkan hidangan berkhasiat. Ibu bapa perlu menyediakan makanan ringkas tetapi berkhasiat untuk anak bersahur dan tip yang sama dilakukan apabila menghidangkan sarapan.

Katanya, pemakanan seimbang penting untuk diamalkan setiap waktu makan termasuk sahur. Hidangan berkhasiat perlu mengandungi komponen karbohidrat, protein, sedikit lemak, vitamin dan mineral.

“Seperti sarapan, hidangan sahur juga boleh dipraktikkan dengan konsep ‘Pinggan Sihat Malaysia’ dan formula suku-suku-separuh seperti disarankan Kementerian Kesihatan.

“Kanak-kanak memerlukan tenaga antara 1,500 hingga 1,800 kalori bagi melakukan aktiviti mereka sepanjang hari. Namun harus diingatkan bahawa pengambilan makanan dalam kuantiti yang banyak ketika sahur bukanlah jaminan kanak-kanak memperoleh lebih tenaga, sebaliknya fokus pada jumlah kalori dan kandungan nutrisi baik yang diperlukan tubuh.

“Saya menyarankan ibu bapa mengutamakan makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks sebagai sumber tenaga. Makanan seperti nasi bersama lauk dan sayuran, serta oat boleh diambil ketikabersahur. Selain membekalkan tenaga, ia juga perlu untuk membekalkan serat bagi menjaga kesihatan sepanjang berpuasa,” katanya.

Sementara itu, pakar nutrisi Nestle, Jason Tan berkata, ibu bapa tidak mempunyai panduan yang tepat dalam menyediakan hidangan berkhasiat

untuk anak ketika sahur mahupun sarapan.

“Ketidakpastian ibu bapa terhadap jumlah kalori dan nutrisi penting bagi membantu proses perkembangan tubuh dan mental anak membuatkan kanak-kanak tidak dapat fokus dalam melakukan aktiviti harian termasuk belajar.

“Sarapan dan sahur adalah perkara yang sama, ia perlu dilakukan sebaik bangun tidur. Jadi, ketika sahur, ibu bapa perlu menyediakan satu hidangan yang lengkap bagi permulaan hari.

“Sepanjang Ramadan, kanak-kanak digalakkan untuk bersahur dengan pengambilan makanan seimbang bersama minuman malt coklat berkhasiat bagi mendapatkan tenaga,” ujarnya ketika ditemui dalam program ‘Lawatan Milo ke Sekolah sempena Ramadan’ di Sekolah Kebangsaan Cochrane Perkasa, baru-baru ini.

Milo mengadakan lawatan ke 10 sekolah di seluruh Semenanjung bagi mempromosikan kepentingan bersahur, bekalan sumber tenaga, pelbagai vitamin dan mineral, cara mengamalkan diet sihat dan seimbang sepanjang Ramadan dalam kalangan pelajar.

Memahami cabaran dihadapi ibu bapa dalam memastikan anak mendapat tenaga mencukupi ketika berpuasa, menerusi lawatan ini Milo berhasrat mendidik pelajar seterusnya menyalurkan maklumat kepada ibu bapa mengenai kepentingan sahur terhadap anak, bahkan diri mereka sendiri.

Tip menggalakkan anak bersahur

• Sediakan hidangan panas untuk membuka selera mereka.

• Hidangkan makanan kegemaran atau yang dicadangkan mereka.

• Pelbagaikan hidangan setiap hari untuk mengelakkan rasa bosan.

• Hidangkan makanan berkuah seperti sup yang mengenyangkan dan mudah dimakan.

• Elakkan makanan pedas yang mengakibatkan ketidakhadaman ketika berpuasa.

Tip pemakanan sihat ketika berpuasa

• Berbuka dengan tiga biji kurma, sebiji buah dan semangkuk sup sayur campur.

• Minum air sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas.

• Bersahur dengan sayur, buahan dan sumber karbohidrat tinggi serat.

• Minum dua gelas air ketika bersahur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 12:01 AM