Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Kuantiti glukosa atau gula yang tinggi dalam darah akibat kegagalan fungsi pankreas adalah punca berlakunya penyakit kencing manis (diabetes).

Sekiranya tidak dirawat, aras gula dalam darah yang tinggi ini mencetuskan kesan kesihatan lebih kronik sekali gus merangsang penyakit lain. Antaranya, penyakit jantung (kardiovaskular), masalah penglihatan seperti glaukoma dan katarak, penyakit buah pinggang, saraf dan gigi.

Kajian International Diabetes Federation pada 2015 melaporkan menjelang 2040, bilangan penghidap diabetes dijangka mencecah 642 juta secara global manakala diabetes mellitus jenis 2 (T2DM) menyumbang kepada 91 peratus peningkatan berkenaan di negara berpendapatan tinggi.

Penghidap diabetes berisiko dua hingga empat kali ganda dihinggapi penyakit jantung berbanding mereka yang tanpa diabetes. Merujuk pada butiran dikeluarkan World Heart Federation pada 2015, kira-kira lima juta pesakit diabetes meninggal dunia seluruh dunia akibat kegagalan fungsi jantung.

Perunding Endokrinologi, Dr Chan Siew Pheng mengakui diabetes dan penyakit jantung mempunyai kaitan rapat malah kebanyakan kes kematian pesakit T2DM disebabkan masalah kardiovaskular.

“Selalunya pesakit mengalami komplikasi jantung sebelum menyedari mereka disahkan menghidapi penyakit diabetes secara klinikal.

“Data dikeluarkan Jurnal Jantung Eropah mendapati orang Asia mengalami kegagalan jantung secara purata pada usia 60 tahun, iaitu awal satu dekad berbanding masyarakat di Barat.

“Hanya 32 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit T2DM berjaya meneruskan kehidupan dalam tempoh lima tahun, namun rawatan terkini lebih maju dapat melanjutkan lagi tempoh jangka hayat,” katanya dalam taklimat media mengenai Jardiance (empagliflozin), baru-baru ini.


SALURAN darah tersumbat berpunca daripada diabetes mengakibatkan penyakit jantung.

Sementara itu, Perunding Endokrinologi, Dr Zanariah Hussein berkata, Malaysia mencatatkan kes kematian akibat diabetes sebanyak 26,452 daripada 3.6 juta pesakit berusia antara 18 hingga 99 tahun pada 2017.

Katanya, pesakit T2DM memiliki risiko tinggi mengalami penyakit berkaitan jantung sekali gus menambahkan kadar kematian akibat penyakit kardiovaskular berkenaan.

“Peningkatan kes diabetes di Malaysia sangat tinggi terutama T2DM iaitu sebanyak 20.8 peratus bagi golongan dewasa berusia 30 tahun ke atas.

“Pengurusan kehidupan bersama diabetes turut menambah bebanan ekonomi kepada keluarga. Ini kerana kebanyakan pesakit diabetes mengalami masalah obesiti, tekanan darah tinggi dan dislipidemia.

“Akibat komplikasi diabetes ini, setiap tahun negara menanggung kos perubatan yang tinggi dan berdasarkan data menyatakan kerajaan menanggung kos komplikasi diabetes RM1.4 bilion setahun.

“Kos keseluruhan bagi kedua-dua sektor awam dan swasta pula mencatatkan sebanyak RM2.04 bilion setahun pada 2011,” jelasnya dalam taklimat yang sama.

Empagliflozin adalah perencat pengangkut bersama glukosa natrium 2 (SGLT2) sangat terpilih yang diambil sekali sehari dan diluluskan sebagai rawatan bagi orang dewasa yang menghidap T2DM.

Sebagai perencat SGLT2, ia menyasarkan glukosa secara langsung dan bertindak secara bebas daripada fungsi sel dan laluan insulin.

Ubat ini juga mengurangkan penyerapan semula glukosa ke dalam aliran darah, membolehkan glukosa berlebihan mengalir menerusi air kencing, membolehkan perkumuhan glukosa kencing.

Menerima kelulusan daripada Malaysia dan Suruhanjaya Eropah, empagliflozin terbukti membantu menyelamatkan nyawa pesakit jantung bersama T2DM dengan mengurangkan risiko kematian sebanyak 38 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 8:38 AM