JURUCAKAP kempen ‘Get Mouth Fit’, Fahrin Ahmad (tengah) diperkenalkan pada majlis pelancaran turut dihadiri Dr Ng (kiri), Pengarah Bahagian Penjagaan Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan, Dr Nomah Taharim (dua kiri), Torrington (dua kanan) dan Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holding Bhd, Salim Mydin (kanan).
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Trend kecergasan diterima baik rakyat Malaysia dapat dilihat menerusi peningkatan dalam senaman berkumpulan, pelancongan untuk kesejahteraan, program kesihatan dan pertambahan bilangan pusat kecergasan yang beroperasi 24 jam.

Namun, kaji selidik oleh Colgate terhadap rakyat Malaysia baru-baru ini mendapati, hampir separuh responden tidak tahu cara mendapatkan kesihatan mulut yang baik walaupun rata-rata bersetuju kesihatan mulut mempengaruhi kesihatan mereka secara keseluruhannya.

Ini bermakna rakyat Malaysia mungkin tidak mengamalkan tabiat kebersihan betul seperti disarankan oleh doktor pergigian.

Antaranya memberus gigi dua kali sehari selama dua minit, membersihkan celah gigi menggunakan benang flos dan membilas mulut dengan larutan pencuci mulut serta menukar berus gigi setiap tiga bulan.

Satu lagi langkah untuk memastikan kesihatan mulut ialah mengunjungi doktor pergigian secara berkala.

Bagaimanapun, Tinjauan Kesihatan Oral Kebangsaan 2010 melaporkan hanya 27.4 peratus orang dewasa mengunjungi doktor pergigian dalam masa setahun.

Sehubungan itu, Colgate-Palmolive Malaysia melancarkan Bulan Kesihatan Mulut 2018 bertemakan ‘Get Mouth Fit’ untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengambil berat penjagaan mulut termasuk mengunjungi doktor pergigian secara berkala.

Kempen itu dengan kerjasama Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan juga bermatlamat menangani masalah sikap enggan berjumpa doktor gigi yang juga satu daripada empat langkah utama penjagaan kesihatan mulut.

Presiden MDA, Dr Ng Woan Tyng berkata, pemeriksaan kesihatan pergigian secara berkala oleh doktor gigi banyak manfaat daripada sekadar membersihkan gigi dan memeriksa untuk kaviti.

“Impak penyakit daripada masalah pergigian terhadap kualiti hidup sangat besar. Bagi orang dewasa, kes paling teruk seperti kehilangan gigi boleh menyebabkan masalah kekurangan nutrisi dan pengasingan sosial.

“Bagi kanak-kanak, ia penyebab paling lazim bagi gangguan tidur berkaitan kesakitan dan pertumbuhan yang terbantut.

“Oleh itu, kesihatan mulut tidak seharusnya diasingkan daripada kesihatan keseluruhan,” katanya.

Memberus gigi tidak memadai

Kata Dr Ng , memberus gigi tidak memadai untuk membersihkan sisa makanan dalam mulut dan kunjungan ke klinik gigi memainkan peranan penting mengekalkan kesihatan mulut.

“Keadaan gigi seseorang berbeza mengikut tabiat pemakanan dan faktor gaya hidup lain. Doktor gigi akan memberi nasihat untuk penjagaannya termasuk mengesan sebarang masalah yang tersembunyi.

“Jika anda belum berjumpa doktor gigi sejak setahun lalu, rancanglah kunjungan secepat mungkin untuk mengetahui status kesihatan mulut anda dengan lebih terperinci,” katanya berucap dalam majlis pelancaran kempen, baru-baru ini.

Bulan Kesihatan Mulut anjuran Colgate-Palmolive Malaysia yang kini memasuki tahun ke-15 masih meneruskan usaha untuk memperbaiki status kesihatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia secara keseluruhannya dengan meningkatkan akses kepada perkhidmatan pergigian.

Ini merangkumi pemeriksaan gigi percuma di 1,109 klinik pergigian swasta yang mengambil bahagian dan pameran bergerak di seluruh negara. Juga aktiviti dalam kedai dan peraduan digital dalam halaman Facebook Colgate Malaysia untuk meningkatkan penyertaan rakyat negara ini supaya mengingati empat langkah utama mengekalkan kesihatan mulut yang baik dan mendapatkan senyuman yang berseri.

Selain itu, Colgate juga menjalankan program ‘Bright Smiles, Bright Futures’ dengan kerjasama Kementerian Pendidikan sejak 40 tahun lalu.

Dalam program itu, jururawat dari Kementerian Kesihatan mengunjungi sekolah rendah untuk mendidik mengenai penjagaan pergigian agar murid mengamalkan tabiat pergigian yang baik sejak kecil.

Sementara itu, Pengurus Besar Colgate-Palmolive Malaysia, Peter Torrington berkata, pihaknya berharap kempen tahun ini menggalakkan rakyat Malaysia menilai semula pendekatan mereka dalam mencapai kesihatan dan kesejahteraan hidup keseluruhannya.

“Rakyat Malaysia mungkin semakin sihat dari segi fizikal, tetapi adakah mereka juga menjaga kesihatan mulut dengan baik? Oleh itu, dalam kempen kali ini kami mahu mendorong Malaysia menjadi negara yang lebih sihat.

“Dengan adanya pelbagai aktiviti menarik yang dirancang sepanjang kempen, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia menyertainya dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara untuk mengaktifkan kesihatan mulut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 8:41 AM