(DARI kiri) Jennifer, Dr Low dan Moses melancarkan aplikasi BayPAP untuk kegunaan pesakit kanser mengawasi peringkat rawatan penyakit mereka.
KEKUNINGAN tanda penyakit hati serius.
BAYPAP mesra pengguna bantu pesakit kanser hati patuh rawatan perubatan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Hepatocellular carcinoma (HCC) adalah jenis kanser hati yang biasa ditemui dan dikatakan bertanggungjawab untuk kira-kira 90 peratus kanser hati malignan dalam kalangan dewasa.

Biarpun kanser hati tersenarai pada kedudukan keenam penyakit kanser yang paling lazim di seluruh dunia, ia menjadi punca kedua kematian disebabkan kanser.

HCC lazim berlaku dalam kalangan pesakit dengan penyakit hati kronik seperti sirosis yang disebabkan oleh jangkitan hepatitis B atau hepatitis C.

Perunding Onkologi Klinikal, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr John Low Seng Hooi berkata, HCC juga satu daripada kanser yang amat sukar untuk dirawat, malah keputusan selepas diagnosis penyakit terbabit juga tidak memberangsangkan dengan kadar kelangsungan hidup antara enam hingga 12 bulan.

“Kanser hati adalah kanser kelapan yang paling umum dan berada di tangga keenam bagi kanser yang lazim berlaku dalam kalangan lelaki di Malaysia.

“Penyakit ini paling banyak dihidapi masyarakat Cina, diikuti Melayu dan India dengan kadar kes lebih tinggi dalam kalangan lelaki berumur 60 tahun ke atas,” katanya.

Katanya, kanser hati ini juga digelar pembunuh senyap berikutan tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal sebaliknya ia muncul apabila penyakit sudah mencecah tahap lanjut.

“Antara gejala yang wujud pada tahap lanjut adalah gumpalan, tidak selesa pada bahagian kanan abdomen, kesakitan sekitar sebelah kanan tulang belikat atau jaundis.

“Gejala lain yang timbul seperti berat badan susut mendadak, kurang selera makan berterusan, cepat kenyang dan keletihan serta loya.

“Rawatan pula membabitkan kemoterapi dan radioterapi, namun rawatan terbaik adalah pemindahan hati tetapi ia amat sukar dilakukan berikutan kesedaran pendermaan organ di negara ini masih pada tahap rendah,” katanya.

Dr Low berkata, pesakit HCC tahap lanjut tidak mempunyai pilihan rawatan berkesan dan mungkin meninggal dunia dalam tempoh setahun selepas didiagnosis.

“Namun, dengan perkembangan teknologi perubatan pesakit HCC terbabit mempunyai peluang untuk melanjutkan lagi kadar kelangsungan hidupnya menerusi terapi Sorafenib iaitu ubat rawatan oral antikanser yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd (Bayer).

“Malah, Bayer sebagai syarikat yang prihatin dalam penjagaan kesihatan melancarkan Program Bantuan Pesakit Bayer buat kali pertama pada 2009. Program ini memberikan bantuan perubatan kepada pesakit kanser hati yang sesuai untuk menerima rawatan sorafenib,” katanya.

Seiring peredaran zaman yang kian ke arah digital, Bayer melancarkan semula Program Bantuan Pesakit Bayer dalam bentuk aplikasi dikenali sebagai BayPAP yang mesra pengguna sekali gus melengkapkan program berkenaan untuk membantu pesakit kanser terutama mereka yang menghidap kanser hati, baru-baru ini.

“Aplikasi BayPAP tentunya langkah yang betul bagi industri penjagaan kesihatan. Melalui maklumat terperinci dan rekod penting hanya di hujung jari, pesakit kini lebih mudah berinteraksi dengan doktor, di samping doktor juga dapat mengikuti perkembangan kesihatan mereka dan menghasilkan rawatan yang lebih baik,” kata Dr Low.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bayer Malaysia, Jennifer Yong berkata, aplikasi BayPAP tercipta hasil kerjasama di antara Bayer dan pembekal perkhidmatan penjagaan kesihatan, Zuellig Pharma yang membolehkan pesakit serta doktor mengakses portal yang direka khas, di samping menyediakan pengalaman digital dan rekod menyeluruh keadaan termasuk sejarah perubatan pesakit.

“Ini membolehkan pesakit dan anggota keluarga mereka memantau secara berkesan kanser hati dihidapi sekali gus dapat meneruskan rawatan dengan lebih tekun.

“Aplikasi ini yang dilancarkan sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut 4 Februari setiap tahun direka bagi membolehkan pesakit kanser mengakses rekod perubatan dan maklumat rawatan dengan lebih mudah serta pantas.

“Setiap pengguna BayPAP akan diberikan kit permulaan bersama satu set soalan lazim oleh doktor dan kod pendaftaran. Talian kecemasan juga diwujudkan bagi membimbing pesakit dalam penggunaan aplikasi ini,” katanya.

Katanya, selepas kejayaan program bantuan pesakit yang pertama, Bayer kemudian memperkenalkan program bantuan pesakit kedua pada 2014 khusus membantu pesakit dengan kanser tumor stromal kolektoral dan gastrousus (GIST) yang dirawat dengan terapi oral sasaran, regorafenib.

“Hasil kejayaan dua siri program bantuan berkenaan mencetuskan pembangunan BayPAP bagi membantu pesakit di Malaysia yang didiagnosis dengan kanser tertentu, namun menerima rawatan sorafenib atau regorafenib oleh doktor.

“Kami mahu mengukuhkan komitmen syarikat terhadap bidang onkologi dan menerusi program bantuan berkenaan kami berjaya membantu lebih 300 pesakit. Matlamat kami untuk memberikan bantuan perubatan kepada pesakit di Malaysia dalam menggalakkan mereka meneruskan rawatan selagi ia diperlukan.

“Kini, menerusi program bantuan yang diperbaharui, inovatif dan dijenamakan semula, pesakit mempunyai akses mudah kepada sumber bantuan ubat berasaskan laman sesawang sehenti sekali gus menjimatkan masa semasa penebusan ubat percuma,” katanya.

Jennifer berkata, kerjasama dengan Zuellig Pharma ini tepat pada waktunya kerana makin ramai pengamal perubatan menyedari kelebihan platform digital dan aplikasi BayPAP membolehkan pengurusan mudah dalam program bantuan pesakit serta memberikan gambaran lebih jelas untuk pemberian ubatan bagi pihak yang terbabit.

“Pesakit adalah paksi utama bagi segala yang kami lakukan, oleh itu kami amat yakin dengan perkongsian strategik seperti kerjasama ini melengkapkan kemampuan penyelidikan Bayer, menggalakkan inovasi dan memudahkan perkembangan bersama yang membawa manfaat kepada pesakit,” katanya.

Timbalan Presiden, CareConnect dari Zuellig Pharma, Moses Hee berkata, penyelesaian digital dalam persekitaran penjagaan kesihatan adalah penting memandangkan ia banyak dipengaruhi keadaan digital semasa yang membuatkan ia kondusif bagi kedua-dua pihak untuk mengakses khidmat nasihat penjagaan kesihatan serta rawatan susulan.

Pada peringkat global, industri penjagaan kesihatan semakin ke arah inovasi digital dan Malaysia antara negara terawal menggunakan platform ini.

“Langkah pencegahan yang efektif amat penting, tetapi pengurusan penyakit juga sama pentingnya dan terdapat keperluan sebenar bagi membantu pesakit menguruskan perubatan mereka dengan lebih baik terutama bagi yang sudah tahap kronik.

“BayPAP adalah contoh terbaik untuk membantu pesakit mematuhi rawatan perubatan. Malah, kami yakin BayPAP tidak hanya menawarkan tawaran menyeluruh bagi merawat kanser, juga mengukuhkan hubungan di antara doktor dan pesakit serta mendidik mereka yang menghidap kanser,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 2:43 AM