Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@yahoo.com.my

Rekahan bibir dan lelangit atau klef membabitkan keadaan bahagian bibir dan lelangit gagal bercantum ketika kehamilan berusia sekitar enam hingga 10 minggu.

Secara global insiden klef ini atau lebih dikenali dengan gejala sumbing dalam kalangan masyarakat tempatan, berlaku setiap 500 hingga 700 kelahiran dan statistik di Asia menyenaraikan terdapat dua kes klef bagi setiap 1,000 kelahiran.

Meskipun kecacatan membabitkan bahagian fizikal sahaja, namun dari segi kehidupan kanak-kanak yang mengalami masalah ini biasanya berdepan krisis baik dari segi rupa, pertuturan, nutrisi, pendengaran, mental mahupun sosial mereka.

Justeru bagi merawat pesakit, pendekatan secara holistik diperlukan membabitkan pelbagai disiplin perubatan (MTD) antaranya pakar bedah plastik; pediatrik; telinga, hidung dan tekak (ENT); pergigian; ortodontik; terapi pertuturan; psikiatrik dan tidak lupa obstetrik yang berperanan pengesanan awal sejak dalam kandungan ibu lagi.

Menurut Pakar Perunding Kanan yang juga Timbalan Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Muhammad Ali Mat Zain, sebanyak 100 kes baru membabitkan klef diterima setiap tahun dan pihaknya melakukan pembedahan antaranya pemulihan bibir, palatoplasti, graf tulang alveolar (ABG) dan rinoplasti.


DR Ali (dua dari kiri) menemani Dr Asmah melawat pesakit.

“Sejak 10 tahun lalu Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudah menjalankan 2,007 pembedahan iaitu kira-kira 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pembedahan dijalankan unit ini setiap bulan.

“Tidak mahu fokus terhadap pembedahan semata-mata, kami mahu ramai pesakit menikmati manfaat terbaik menerusi pasukan pengurusan klef iaitu MTD termasuk persatuan Cleft Lip and Palate Association Malaysia (CLAPAM) dalam meningkat kualiti perkhidmatan pesakit.

“Selain peranan pakar dan persatuan bertindak secara tidak langsung, kami turut memerlukan sokongan terutama ibu bapa pesakit untuk membantu kami dalam proses pengurusan klef itu sendiri,” katanya.

Sementara itu Pakar Bedah Plastik Dr Hamidah Mohd Zainal berkongsi mengenai buku The Care of A Child With Cleft Lip and Palate antara inisiatif Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai panduan ibu bapa kanak-kanak mengalami masalah berkenaan.


PEMBEDAHAN lebih rumit bagi prosedur graf tulang alveolar (ABG).

“Selain meningkatkan kualiti servis rawatan, kami pengamal perubatan berharap ibu bapa mahupun orang awam mendapat pendedahan awal mengenai masalah ini termasuk mengetahui mengenai program rawatan disediakan pihak hospital.

“Dalam buku panduan berkenaan, kami daripada unit pengurusan masalah rekahan bibir dan lelangit menyenaraikan prosedur mengikut tahap perkembangan umur pesakit selain maklumat umum mengenai masalah terbabit.

“Saya mahu tekankan kepentingan pengesanan seawal mungkin bagi membolehkan kanak-kanak melalui proses rawatan dan sokongan agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal,” katanya.


PEMULIHAN bibir menerusi pembedahan.

Dalam sidang media bersama unit itu sempena Kempen Kesedaran Klef atau Rekahan Bibir dan Lelangit, Dr Hamidah juga berkongsi perkembangan mengenai pengurusan keadaan ini di negara lain seperti Taiwan dan Korea Selatan yang mencatatkan angka hampir sifar terhadap masalah klef.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Kementerian Kesihatan Malaysia Datin Seri Dr Asmah Samat yang melancarkan buku panduan penjagaan kanak-kanak klef berkenaan.


PALATOPLASTI untuk prosedur menyambung lelangit.

INFO

Klef atau sumbing

Rekahan bibir: Bukaan bibir boleh terjadi satu sisi (unilateral) atau dua (bilateral). Sama ada membabitkan hujung bibir atau pemisahan keseluruhan bibir hingga ke bawah hidung.

Rekahan lelangit: Bukaan pada lelangit mulut dan boleh terjadi sebelah atau kedua-dua sisi.

• Kanak-kanak boleh mengalami rekahan bibir mahupun lelangit atau kedua-duanya.

Gangguan akibat klef:

i. Sukar untuk makan mahupun menyusu.

ii. Pendengaran apabila kebanyakan kes membabitkan kanak-kanak mengalami masalah gegendang telinga dipenuhi air.

iii. Masalah pada gigi.

iv. Pertuturan.

Program Rawatan

1. Kelahiran

• Kaunseling genetik, sokongan psikososial, nasihat penyusuan dan penjadualan rawatan.

• Rujukan kali pertama kepada pakar bedah plastik.

• Pembedahan awal ortodontik jika ada keperluan kecemasan.

• Rawatan susulan pediatrik.

• Rujukan kepada pakar hidung, telinga dan tekak (ENT) - ujian pendengaran.

2. Usia 3-4 bulan

• Pemulihan bibir atau lelangit.

• Penyambungan bibir (kes teruk membabitkan klef bilateral).

• ‘Grommet Insertion’/ meatotomi

3. Usia 6-9 bulan

• Pembedahan palatoplasti (pemulihan lelangit).

• Pemulihan bibir.

• ‘Grommet Insertion’/ meatotomi.

4. Usia 1-5 tahun

• Pemulihan bibir kontralateral (kes serius).

• Rujukan kepada Pakar Pergigian Kanak-kanak dan persiapan untuk keperluan graf tulang alveolar (ABG).

5. Usia 5-8 tahun

• Rawatan pergigian / terapi pertuturan.

• Faringoplasti (dilakukan pakar bedah plastik).

• Pemeriksaan parut (dilakukan pakar bedah plastik)

6. Usia 8-9 tahun

• Rawatan ortodontik dan ABG.

• Merujuk kepada pakar bedah.

• Pemeriksaan parut.

• Kombinasi rawatan susulan di klinik klef.

7. Usia 15 tahun

• Pemulihan hidung (rinoplasti) dan pemeriksaan parut.

• Pembedahan ortognatik.

• Kombinasi rawatan susulan di klinik klef.

8. Usia 18 dan ke atas

• Pemeriksaan parut (dilakukan pakar bedah plastik).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 2:29 AM