Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Cuaca yang tidak menentu membuatkan ramai ibu bapa lebih selesa membiarkan anak mereka bermain gajet di dalam rumah tanpa menyedari risiko bakal ditanggung.

Ramai juga ibu bapa beranggapan berada di dalam rumah lebih selamat berbanding di luar kerana masalah cuaca seperti jerebu, pencemaran udara dan sebagainya.

Namun, pernahkah anda terfikir di dalam rumah juga terdapat risiko perlu ditanggung? Ya, anda pasti terkejut kerana persekitaran dalam kediaman juga mendedahkan potensi risiko kesihatan terhadap kanak-kanak.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 4.3 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat pendedahan pada bahan cemar dalaman seperti radon, karbon monoksida, VOC dan formaldehid, manakala satu dalam lima orang sangat peka terhadap formaldehid walaupun pada kadar pendedahan rendah terutama terhadap bayi dan kanak-kanak.

Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI), Datuk Dr Amir Hamzah Abd Latiff berkata, kebanyakan ibu bapa hari ini lebih percaya pada maklumat ‘doktor digital’ yang mudah didapati menerusi Internet.

“Dengan maklumat di hujung jari, semua boleh menjadi doktor apabila mudah mendapatkan info mengenai sesuatu penyakit. Keadaan ini mungkin boleh menyebabkan diagnosis yang salah kerana terdapat banyak simptom penyakit yang kelihatan sama dengan penyakit lain.

“Selain itu, kesahihan maklumat yang diberikan turut menjadi persoalan. Sehubungan itu, MSAI telah bekerjasama dengan Nippon Paint dalam Program Kesejahteraan Kanak-kanak yang mana pengamal perubatan menyediakan maklumat serta nasihat profesional kepada ibu bapa selain membuat keputusan utama,” katanya ketika ditemui dalam program itu di ibu negara baru-baru ini.

Program kesejahteraan kanak-kanak menyaksikan beberapa persatuan nasional seperti Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), MSAI, Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) serta Persatuan Tadika Malaysia (PTM) bekerjasama dengan pakar perubatan atau pemilik pusat jagaan kanak-kanak untuk menyediakan beberapa langkah mudah serta nasihat pakar kepada ibu bapa yang kini amat prihatin terhadap kesihatan anak mereka.

Menurut MSAI, seorang daripada tiga rakyat Malaysia mengalami sesetengah masalah alergi, manakala anak-anak daripada ibu bapa yang mengalami alergi mempunyai kemungkinan 50 hingga 80 peratus untuk mengalami alergi.

Jelas beliau lagi, ibu bapa perlu tahu risiko yang terdapat di dalam bangunan dan memahami cara mengurangkan risiko ini. Alergi boleh berlaku di mana-mana di dalam bangunan.

“Dinding bangunan, alat mainan malah perabot boleh menjadi punca serangan alergi. Ibu bapa perlu faham jika mengesyaki anak mereka mengalami alergi, mereka perlu menjalani ujian untuk menentukan puncanya bagi memastikan rumah mereka bebas daripada bahan alergi ini.

“Bukan sekadar menjadi ‘doktor digital’ saja. Dikhuatiri disebabkan terlalu percaya ia akan mendatangkan masalah di kemudian hari,” katanya.

Bayi dan kanak-kanak menghabiskan lebih masa dalam rumah serta bernafas lebih kerap berbanding dewasa yang disebabkan sistem pernafasan mereka yang masih membentuk menjadikan mereka lebih mudah menjadi mangsa kepada formaldehid.

Mutu udara dalam bangunan tidak boleh diambil ringan kerana kanak-kanak berada antara lapan hingga 20 jam sehari di dalamnya. Kira-kira 20 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami tekanan serta keresahan akibat sekatan untuk bermain.

Kanak-kanak bawah umur lima tahun adalah kumpulan yang paling mudah dijangkiti virus dan bakteria seperti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Memandangkan penyakit HFMD dan H1N1 sering muncul di Malaysia, maklumat yang relevan untuk mendidik ibu bapa dan penyedia penjagaan kanak-kanak tentang kepentingan persekitaran dalaman perlu disebarkan kerana mereka banyak menghabiskan masa di pusat jagaan kanak-kanak, sekolah atau rumah.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia, Gladys Goh berkata, inovasi sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA Nippon Paint.


AMIR Hamzah (dua dari kiri) bersama Mohd Sham (kiri), Glady (tengah) serta Norsheila dan Eveleen pada pelancaran Program Kesejahteraan Kanak-kanak di ibu negara baru-baru ini.

“Kami peka dengan keperluan pelanggan yang sentiasa berubah dan menyedari terdapat peluang yang masih belum diteroka dalam industri cat.

“Ini memberi motivasi kepada kami untuk membangunkan rangkaian cat mesra kanak-kanak yang memberikan persekitaran dalaman yang lebih selamat dan sihat untuk mereka.

“Kami juga mengambil peluang memperkenalkan Program Kesejahteraan Kanak-kanak dengan kerjasama pelbagai pertubuhan kebangsaan bagi melaksanakan program kesedaran dan pendidikan bagi memberikan nasihat dan maklumat pakar kepada ibu bapa, pemilik dan pengendali pusat jagaan kanak-kanak dan tadika supaya mereka boleh membuat keputusan yang lebih bijak tentang kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.

Hadir sama Bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dan Bekas Ketua Setiausaha Persatuan Pediatrik Asia Pasifik (APPA), Prof Datuk Dr Mohd Sham Kasim, Presiden PPBM, Norsheila Abdullah serta Presiden PTM Eveleen Ling.

INFO

JENIS ALERGI

Alahan rhinitis (alahan pernafasan)

• Penghasilan mukus (lendir)

• Gatal-gatal di tekak, hidung, mata dan mulut

• Batuk

• Sakit kepala

• Hidung berair/bersin

• Asma/bunyi ronkus (pernafasan berbunyi)

Alahan terhadap makanan

• Tekak terasa gatal

• Anafilaksis (boleh menyebabkan kematian)

• Sakit perut

• Loya

• Muntah

• Kekejangan otot perut

• Gatal di dalam mulut, tekak, mata dan kulit

• Gatal/urtikaria

• Angioedema pada kelopak mata dan bibir

• Rongga hidung tersumbat / hidung berair

• Sesak nafas/bunyi ronkus

Alahan terhadap ubat-ubatan

• Gatal-gatal

• Ruam kulit

• Gatal-gatal pada kulit atau mata

• Bunyi ronkus

• Bibir membengkak

Gejala anafilaksis

• Penyumbatan rongga hidung

• Sukar bernafas

• Batuk

• Kulit menjadi kebiru-biruan, termasuklah bibir atau kuku

• Pening

• Keliru

• Sakit/kekejangan otot abdomen

• Loya, muntah

• Cirit-birit

Alahan konjunktivitis

• Mata merah

• Salur darah yang mengembang (menjadi besar) dalam sklera

• Gatal yang sangat teruk - mata rasa terbakar

• Keluar air mata

• Kelopak mata bengkak/sembab

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 12:00 AM