rokok putih yang dirampas di perairan Tanjung Bidara, semalam.
HM Digital

Alor Gajah: Percubaan tujuh lelaki warga Indonesia menyeludup masuk rokok putih gagal selepas mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan (DM) 5 di perairan Tanjung Bidara di sini, semalam.

Tangkapan jam 11 malam itu dibuat selepas pasukan APMM melakukan rondaan mengesan kehadiran bot mencurigakan di kedudukan 6.2 batu nautika dari Pantai Tanjung Bidara.

Timbalan Pengarah Operasi DM5 Komander Maritim Azman Samsudin berkata, selain tujuh individu ditahan pihaknya turut merampas rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.86 juta.

Beliau berkata, semua ditahan berusia antara 22 hingga 50 tahun termasuk tekong dan enam awak-awak.

“Pemeriksaan ke atas bot menemui 1,200 kotak mengandungi 50 karton rokok putih di anjung bot.

“Kami percaya mereka sudah lama menyeledup rokok ke dalam negara untuk dipasarkan ke beberapa lokasi,” katanya di Pejabat APMM Kuala Linggi, di sini, semalam.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek turut dikesan melakukan pelbagai kesalahan antaranya gagal melapor ketibaan dan memasuki perairan Malaysia secara tidak sah.

“Semua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 6:56 AM