TIONG Lai (tengah) pada majlis bersama KTMB dan Kelab Rotary 3300 Malaysia di KL Sentral, semalam.
Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan sedia berjumpa dengan pengusaha dan persatuan teksi untuk menerangkan perkhidmatan e-hailing (e-panggilan) seperti Uber dan Grab dalam usaha memastikan kedua-duanya mempunyai platform dan syarat sama.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan sudah meminda Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi memastikan setiap perkhidmatan e-hailing mematuhi undang-undang ditetapkan.

Katanya, pemandu teksi kini perlu memiliki lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) serta kenderaan perlu menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dua kali setahun dan ia akan dipermudahkan kepada sekali setahun menerusi pindaan terbabit.

“Ini semua kita akan berbincang dengan mana-mana pihak yang ingin menggunakan e-hailing,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pride of Workmanship di KL Sentral, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin dan Yang Dipertua Kelab Rotary 3300 Malaysia Dr Manohur Kurup.

Seramai 66 kakitangan KTMB pelbagai peringkat dari seluruh negara menerima anugerah itu sempena Bulan Perkhidmatan Vokasional Rotary Antarabangsa yang disambut pada Januari.

Mengulas mengenai ugutan Pengasas dan Penasihat Perkhidmatan Big Blue Taxi Datuk Shamsubahrin Ismail bahawa majoriti pemandu teksi akan menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti berikutan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) membela nasib mereka selepas kemunculan e-hailing, Tiong Lai berkata, pihak terbabit tidak sepatutnya membuat ugutan kepada kerajaan.

“Itu tak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang bertanggungjawab.

“Apa-apa pun isunya bolehlah berbincang dengan kementerian, kita sentiasa terbuka untuk menerima pandangan, tetapi ugutan itu tidak payahlah,” katanya.

Menurutnya, penyelarasan undang-undang berkaitan perkhidmatan e-hailing serta teksi sedang dibuat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan apabila diwartakan barulah ia dikuatkuasakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 6:47 AM