KAKITANGAN Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menunjukkan buah manggis yang bakal dieksport.
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my

Bentong: Permintaan yang tinggi terhadap manggis di pasaran Eropah dan China memerlukan lebih ramai pekebun mengusahakan tanaman itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif berkata, daerah itu kini menjadi pengeluar utama buah berkenaan untuk pasaran luar negara.

Menurutnya, kini terdapat kira-kira 40 pekebun manggis membabitkan kawasan tanaman seluas 200 hektar, Kampung Telemong menjadi pengeluar utama diikuti beberapa kampung lain di sini.

Katanya, musim pengeluaran berlaku dua kali setahun di daerah ini memberi lebih peluang kepada aktiviti eksport secara berterusan dan mampu memenuhi permintaan manggis yang kini terus bertambah.

“Kualiti buah manggis yang tinggi dan bebas daripada bahan kimia menjadikan produk itu diterima baik masyarakat di China. Contohnya tempahan 500 tan diterima menjelang sambutan Tahun Baru Cina akan datang.

“Harga yang tinggi antara RM200 dan RM400 sekilogram (kg) memberi lebih keuntungan kepada pengeksport memasarkan manggis ke China dan Eropah secara berterusan,” katanya pada Pelancaran Flag Off Manggis ke Eropah dan China di pekarangan Dewan Orang Ramai Telemong di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 5:18 AM