Jalan ke rumah penduduk yang dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Air Papan, Mersing.
Mohd Sah Muda
am@hmetro.com.my

Mersing: Jalan Air Papan-Tanjung Resang ditutup kepada semua kenderaan susulan runtuhan cerun petang semalam akibat hujan lebat sejak tiga hari lalu.

Kelmarin laluan berkenaan dibuka satu lorong susulan kejadian runtuhan cerun, namun disebabkan hujan berterusan, berlaku runtuhan lebih besar dan memaksa ia ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Turut ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Kampung Sungai Bebuta.

Pegawai Daerah Mersing Ashari Kasnan berkata, langkah keselamatan sudah diambil bagi mengelak kejadian yang tidak diingini membabitkan pengguna jalan berkenaan.

Menurutnya, susulan runtuhan cerun di Jalan Air Papan-Tanjung Resang itu, pengguna boleh ke Tanjung Resang melalui Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing/Endau- Jalan Air Papan.

“Bagaimanapun, langkah keselamatan segera sudah diambil melalui Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di laluan yang menjadi jalan pintas bagi pelancong untuk ke beberapa penginapan di Tanjung Resang,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan mengelak daripada menggunakan laluan itu dan peka dengan papan tanda amaran yang disediakan bagi mengelak sebarang kemungkinan ketika musim hujan.

Dalam pada itu, sehingga jam 6 petang semalam, mangsa banjir di Segamat dan Mersing direkodkan seramai 157 mangsa membabitkan 35 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, bilangan berkenaan meningkat berbanding 118 mangsa membabitkan 31 keluarga yang ditempatkan di empat PPS berkenaan pada jam 8 pagi.

Beliau berkata, antara kawasan yang terjejas di Segamat ialah Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Pogoh 2.

Menurutnya, 54 mangsa membabitkan 14 keluarga ditempatkan di PPS di Balai Gemerah 4 Balai Badang.

Manakala 10 mangsa membabitkan dua keluarga ditempatkan di Balairaya Pogoh Tengah dan 29 mangsa daripada tiga keluarga di Kompleks Penghulu Mukim Pogoh yang dibuka jam 5 petang semalam.

“Kawasan terjejas di Mersing termasuk Kampung Tenglu Besar dan Kampung Air Papan.

“Seramai 34 mangsa membabitkan lapan keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Tenglu Besar.

“Manakala 29 mangsa membabitkan lapan keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Air Papan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 4:53 AM