KEADAAN kereta mangsa selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang wanita yang juga pembantu klinik cedera ringan ketika cuba berpaut pada Perodua Myvi miliknya apabila dilarikan penjenayah dengan dua anaknya masih di dalam kereta itu di Taman Pulai Indah ,di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, wanita berusia 32 tahun itu mengambil payung di dalam but sebelum seorang lelaki masuk ke dalam kereta hitam itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, mangsa ketika itu baru tiba di rumah bapanya di Taman Pulai Indah untuk menghantar dua anak, seorang lelaki berusia lima tahun dan perempuan berusia tiga tahun.

“Ketika itu hujan dan mangsa turun mengambil payung di bonet kereta sebelum ternampak lelaki bertopi w biru masuk ke dalam kereta.

“Mangsa cuba membuka pintu kerana kedua-dua anaknya masih di dalam, tetapi pintu kereta dikunci dari dalam,” katanya.

Beliau berkata, suspek melarikan kereta mangsa bersama dua kanak-kanak itu. Mangsa cuba berpaut namun gagal dan terjatuh di atas jalan menyebabkan dia luka di tapak tangan dan jari kanan.

Noor Hashim berkata, adik lelaki mangsa mengekori kereta terbabit dan melihat anak perempuan mangsa ditinggalkan di tepi jalan hanya beberapa lorong dari rumah bapa mangsa.

“Mangsa ke Balai Polis Kangkar Pulai untuk membuat laporan dan ketika di balai, mangsa menerima panggilan telefon daripada adiknya menyatakan ada saksi menjumpai anak lelakinya di pintu masuk Taman Pulai Indah dan menghantarnya pulang ke rumah bapa mereka.

“Turut dibawa lari telefon bimbit Samsung Note 2 yang berada di dalam kereta,” katanya.

Menurut Noor Hashim, kereta mangsa yang dibawa lari itu ditemui terbabit kemalangan di kawasan Ulu Choh sejam kemudian selepas melanggar belakang lori.

Bagaimanapun, katanya, suspek tiada di lokasi dan dipercayai melarikan diri bersama seorang rakannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 363 Kanun Keseksaan kerana samun dan melarikan kenderaan atau orang.

“Orang ramai yang ada maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:47 AM