ANGGOTA bomba memadam api di rumah mangsa.
HM Digital

Teluk Intan: Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Lorong Guru Kampung Bahagia di sini, hangus dalam kebakaran, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.40 pagi, keluarga berkenaan tiada di rumah kerana keluar bekerja dan melakukan urusan masing-masing.

Pemilik, Hussain Endip, 77, yang juga bekas pesara Pejabat Tanah Teluk Intan berkata, ketika kejadian dia keluar membeli lauk, manakala isteri Aminah Talib, 76, ke Bagan Datuk kerana menghadiri majlis pengajian agama.

Menurutnya, ketika kejadian anak lelakinya Baharin, 38, petugas bahagian kewangan di Pejabat Majlis Perbandaran Teluk lntan, manakala isteri Baharin, Nor Azha Pandak lbrahim 32, jururawat bertugas di Hospital Teluk lntan.

“Saya tidak dapat selamatkan harta benda kerana api marak cepat dan bahang panas kuat,” katanya.

Dia bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kehilangan jiwa.

Ketua Operasi Kamarziman Abdullah dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk lntan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.43 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

Katanya, 16 anggota bersama empat jentera bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Anggota yang tiba di lokasi kejadian mendapati 80 peratus rumah musnah dijilat api.

“Anggota bomba mengawal api daripada merebak dan api dipadamkan dalam masa sejam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:47 AM