KAKITANGAN NSTP Prai sedang mengacau dan memasak bubur asyura dalam Program Memasak Bubur Asyura yang dilakukan secara gotong-royong.
HM Digital

Prai: Sempena bulan Muharam, Badan Khairat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Prai dengan kerjasama kafetaria NSTP Prai menganjurkan Program Memasak Bubur Asyura secara gotong-royong di kawasan parkir motosikal Balai Berita (BB) Prai, semalam.

Pengerusi Badan Khairat BB Prai Muhammad Zulkhairi Ismail berkata, program itu adalah acara tradisi tahunan yang membabitkan 30 kakitangan NSTP Prai.

Beliau berkata, dua kawah bubur asyura dimasak secara gotong-royong bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 2 petang dan pihaknya turut mengadakan jamuan makan pada jam 4 petang.

“Sebanyak 200 pek bubur asyura diagihkan kepada semua kakitangan supaya mereka dapat sama-sama merasainya.

“Walaupun ia dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keceriaan sesama kakitangan dapat dilihat semasa mereka mengacau bubur asyura secara gotong-royong,” katanya.

Muhammad Zulkhairi berkata, aktiviti sedemikian akan terus dikekalkan bagi mengeratkan ukhuwah sesama kakitangan di samping memupuk keceriaan dalam program seperti itu.

Beliau berkata, selain memasak bubur asyura dalam bulan Muharam, pihaknya turut aktif mengimarahkan surau dengan mengadakan kuliah agama selepas solat Maghrib sebulan sekali, ceramah agama pada sambutan Israk dan Mikraj serta bacaan Yasin dan selawat sempena Maulidur Rasul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:39 AM