Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Saya orang Malaysia, asal dari Kepong,” kata seorang wanita warga China yang fasih berbahasa Melayu ketika ditahan pada serbuan di sebuah pangsapuri di Pudu, malam kelmarin.

Bagaimanapun, ketika diminta menyebut nombor MyKad, wanita berusia 20 itu kelu selain gagal menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku seperti diminta pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Lebih melucukan, teman lelakinya yang juga warga Myanmar mengatakan wanita berkenaan berasal dari China menyebabkan lelaki itu dimarahinya.

Wanita itu juga berlakon sakit perut selain mendakwa sedang mengandung tiga bulan.

Ketika disoal siasat, wanita itu mula mengaku yang sebenarnya dia menipu kerana cuba melepaskan diri dan pemeriksaan juga menunjukkan dia tidak mempunyai dokumen sah.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali yang turut serta pada Op Mega dan Op Gegar itu berkata, 189 warga asing diperiksa di pangsapuri di Pudu dan sebuah pusat hiburan di Jalan Kia Peng.

“Kami menahan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pudu dan 24 lagi di Jalan Kia Peng. Mereka terdiri daripada 20 wanita Thailand, dua wanita Uzbekistan yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja di pusat hiburan.

“Di Pudu, kami menahan enam wanita warga Myanmar, seorang lelaki warga Pakistan, seorang lelaki Indonesia dan 12 lelaki warga Myanmar. Semua yang ditahan berusia 19 tahun hingga 46 tahun,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian yang diperiksa memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

“Kebanjiran warga asing di kawasan ini menyebabkan penduduk setempat kurang selesa. Bagaimanapun hasil pemeriksaan sebahagian besar daripada mereka memiliki kad UNHCR.

“Kumpulan ini juga didapati menyewa bilik yang diubahsuai secara haram. Unit rumah pada asalnya mempunyai dua hingga tiga bilik diubah suai tanpa izin menjadi hingga lima bilik kecil.

“Kami meminta kerjasama daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merobohkan sambungan haram berkenaan selain akan mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:13 AM