PENAGIH dadah yang ditahan AADK di kawasan penanaman sawit di Manong, Perak.
HM Digital

Ipoh: Sokongan dan peranan daripada semua pihak harus diperkukuhkan bagi membantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama agensi terbabit dalam membanteras gejala dadah yang dilihat semakin menular termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.

Berdasarkan statistik di Perak bermula Januari hingga September tahun ini, jumlah pelajar sekolah yang didapati positif dadah selepas ujian saringan ialah 186 orang membabitkan 184 lelaki dan dua perempuan.

Justeru, pelbagai program dijalankan di negeri ini bagi membasmi penularan dadah bukan saja dalam kalangan pelajar dan penagih baru, malah penagih yang sudah insaf melalui pendekatan dari hati ke hati iaitu program ‘Masih Ada Yang Sayang’.

Pengerusi PEMADAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil negeri Perak Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kerajaan negeri mengadakan program itu untuk menunjukkan keseriusan dalam membantu AADK dan agensi terbabit dalam mengekang penagih yang sudah menjalani rawatan kembali kepada penagihan.

Katanya, dalam program itu, pegawai AADK, ahli PEMADAM dan pemimpin masyarakat akan mendekati golongan penagih yang menjalani rawatan melalui pendekatan hati ke hati supaya mereka tidak terjebak semula dengan penagihan.

“Saya sendiri turun padang dalam program home visit (lawatan rumah) itu bersama AADK dan agensi lain bagi mendekati mereka ini secara hati ke hati dengan tagline ‘Masih Ada Yang Sayang’ dalam setiap program pemukiman yang dijalankan di setiap daerah.

“Selain sesi dialog bersama OKP (Orang Kena Pengawasan) diadakan, mereka turut diberikan peluang perniagaan kecil-kecilan kepada mereka yang betul-betul sudah insaf,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:10 AM