DR Noor Zari (tengah) melawat tapak jualan pada Walkabout Promosi Hari Jualan Koperasi Negeri Selangor.
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Sebanyak 143 daripada 13,428 koperasi di seluruh negara ditutup sejak Januari hingga September lalu.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, koperasi yang ditutup itu tidak mempunyai matlamat jelas dalam membangunkan dan menggerakkan koperasi bagi menjalankan aktiviti perniagaan.

“Kita berperanan mengawal selia koperasi ini. Koperasi yang tidak aktif dan tidak menjalankan aktiviti dalam tempoh tertentu akan dibatalkan pendaftaran.

“Namun, sebelum membatalkannya, kita akan pulihkan terlebih dulu melalui latihan, bengkel dan sebagainya. Jika didapati tidak boleh lagi dipulihkan, baru kita tutup,” katanya ketika ditemui pada Program Walkabout Promosi Hari Jualan Koperasi Negeri Selangor 2017 di SKM Selangor, semalam.

Turut hadir Pengarah SKM Selangor Rusli Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Koperasi Majlis Perundingan Melayu Berhad Abu Zaki Abu.

Dr Noor Zari berkata, satu daripada faktor penutupan itu juga berlaku disebabkan tiada pelapis muda dalam membangunkan koperasi di negara ini.

Berikutan itu, katanya, SKM kini giat menggerakkan koperasi dengan membuat Program Usahawan Koperasi peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara bagi melahirkan pelapis muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:05 AM