Kejadian samun kedai serbaneka 24 jam di Meru Permai yang mencederakan Harun Al-Rashid.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka 24 jam parah akibat dibelasah dalam kejadian samun di Meru Permai, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Harun Al-Rashid Abas Al-Rashid, 53, cedera di kepala dan tangan kiri dipercayai dipukul dengan batang besi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, dua lelaki dipercayai bersenjatakan besi masuk ke dalam kedai serbaneka berkenaan sebelum meluru ke mangsa di kaunter jualan dan memukul kepalanya.

Seorang daripada suspek turut mengacukan senjata kepada isteri mangsa Noraini Ismail, 31, yang ketika kejadian tidur dalam bilik di premis berkenaan.

Noraini berkata, dia terjaga apabila mendengar bunyi bising di ruang kaunter sebelum tiba-tiba seorang lelaki masuk ke dalam bilik dan mengacukan senjata seperti parang sambil mengugutnya memberitahu di mana peti simpanan wang.

“Saya menjerit ketakutan menyebabkan rakan suspek menjerit mengarahkan rakannya melarikan diri.

“Suspek sempat melarikan telefon bimbit saya sebelum keluar melihat keadaan suami dan terkejut melihat kesan darah di lantai,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam.

Menurutnya, dalam keadaan berlumuran darah, suami sempat membuka pintu untuk pelanggan yang ingin membeli barangan sejurus kejadian itu.

“Saya meminta tolong pelanggan lelaki itu menghubungi polis dan ambulans tiba tidak lama kemudian.

“Suami di bilik bedah am HRPB untuk pembedahan kerana menurut doktor selain retak pergelangan tangan kiri suami juga cedera di kepala dan ada pecahan tengkorak kepala,” katanya.

Noraini berkata, dia dan suami memang tinggal di kedai serbaneka itu atas kebenaran majikan sejak berkahwin hampir dua tahun lalu dan memang pernah berlaku kejadian kecurian, namun tidak seteruk kali ini yang membabitkan senjata hingga mencederakan suaminya.

“Kawasan depan kedai itu juga sering menjadi tempat lepak kumpulan mat rempit sebelum ini dan suami pernah mengadu perkara berkenaan kepada polis kerana keadaan itu mungkin menyebabkan pelanggan takut untuk ke kedai, tetapi perkara itu sudah lama berlaku.

“Tidak pasti sama ada kejadian ini membabitkan motif dendam atau hanya samun, namun berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) suspek terus memukul suami saya tanpa belas kasihan sebaik masuk ke dalam kedai,” katanya.

Difahamkan kejadian itu membabitkan enam suspek yang menaiki tiga motosikal namun hanya dua suspek yang memasuki kedai dan menyamun wang tunai RM500 dalam mesin juruwang di kaunter, rokok jualan dan telefon bimbit isteri mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:57 AM