Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


Serdang: Dua belas premis yang pernah dan masih menjalankan aktiviti judi atas talian di sekitar Bandar Kinrara serta Bandar Puteri Puchong diserbu Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam kelmarin.

Serbuan bermula jam 9 malam itu membawa kepada rampasan 107 set komputer serta mesin judi.

Pada serbuan di pusat judi di Jalan TK 1/11B, Taman Kinrara, seorang wanita warga Indonesia berusia 55 tahun ditahan ketika leka berjudi.

Dia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah mendakwa datang ke premis berkenaan bersama rakan untuk mencuba nasib.

Ketua Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, premis judi itu berselindung di sebalik perniagaan kedai makan namun apabila pintu belakang yang dijaga pekerja dibuka, terdapat ruang untuk aktiviti judi atas talian.

“Kami menyerbu 12 premis judi namun lapan daripadanya sudah dikosongkan manakala tiga lagi terdapat mesin judi serta set komputer, namun sudah tidak beroperasi.

“Sebuah lagi premis di Bandar Kinrara masih aktif dan ketika serbuan, kami dapati ada 42 pemain bersama empat lelaki warga Bangladesh sebagai penjaga berada di situ,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:54 AM