ANGGOTA penguat kuasa MDKP mengeluarkan anjing yang terperangkap di dalam longkang di Taman Bukit Pilah Perdana.
HM Digital

Kuala Pilah: “Kami melakukannya mengikut prosedur dan wanita itu (mendakwa pemilik anjing) gagal menunjukkan bukti haiwan itu miliknya,” kata Pegawai Daerah, Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Syahrul Nizam Saleh yang mempertahankan tindakan pihak berkuasa melupuskan seekor anjing dengan menyuntik, kelmarin.

Anjing terbabit ditemui terperangkap dalam longkang dan masih hidup di belakang Dewan Datuk Bahaman, Taman Bukit Pilah Perdana di sini namun ketika kerja menyelamatkannya dilakukan, seorang wanita tampil mendakwa haiwan itu miliknya.

Syahrul Nizam berkata, ketika itu anggota penguat kuasa MDKP bersedia untuk melupuskan anjing dengan cara suntikan namun wanita itu tiba-tiba muncul.

“Disebabkan gagal seperti yang diminta, MDKP mengambil tindakan berdasarkan Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Perlesenan Anjing MDKP 1991 yang menyatakan bahawa mana-mana anjing disimpan dalam kawasan hendaklah mendapat lesen daripada Yang Dipertua MDKP.

“Selain itu, berdasarkan UUK 3(2) Perlesenan Anjing MDKP 1991, mana-mana orang mempunyai, menyimpan atau menyenggara seekor anjing tidak berlesen adalah melakukan satu kesalahan.

“Berdasarkan UUK 6, Perlesenan Anjing MDKP 1991, anjing hendaklah memakai lencana setiap masa. Manakala UUK 7(1) Perlesenan Anjing MDKP 1991, mana-mana anjing berusia lebih tiga bulan yang dijumpai di tempat awam tanpa memakai lencana pada leher boleh dilupuskan.

“Selain itu, berdasarkan UUK 8 (2), Perlesenan Anjing MDKP 1991, anjing hendaklah diikat apabila dibawa keluar dari rumah dan UUK 8(3), Perlesenan Anjing MDKP 1991, tiada anjing boleh dibiarkan bebas tanpa pengawasan pemilik,” katanya ketika mengulas mengenai ketidakpuasan hati wanita terbabit yang menjadi tular di laman sosial.

Menceritakan lebih lanjut, Syahrul Nizam berkata, MDKP menerima panggilan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah memohon bantuan menangkap seekor anjing liar terjatuh ke dalam longkang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:27 AM