MASTURA (dua kiri) dan Eqhwan Mokhzanee (dua kanan) membantu pelanggan membuat pembayaran di Shah Alam, semalam.
Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Bagi menggalakkan penggunaan JomPAY di kalangan pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), 20 kios JomPAY disediakan di 20 cawangan PTPTN seluruh negara.

Inisiatif itu hasil kolaborasi strategik PTPTN dengan AmBank Islamic yang menyumbangkan 20 unit komputer riba kepada PTPTN.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, JomPAY adalah saluran e-pembayaran bagi pembayaran balik pinjaman dan penambahan simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang membabitkan 42 bank utama di Malaysia.

“Kerjasama ini adalah strategi lautan biru bagi memodenkan platform pembayaran PTPTN. Perkhidmatan JomPAY menekankan ciri keselamatan, cepat dan mudah digunakan malah tidak mengenakan caj tambahan kepada pelanggan.

“Sejak diperkenalkan pada Oktober 2016, pelanggan PTPTN yang menggunakan saluran JomPAY menunjukkan peningkatan.

“Dari 1 Januari hingga 31 Julai lalu, 298,925 transaksi direkodkan bagi bayaran balik pinjaman melalui JomPAY membabitkan bayaran RM72.47 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kiosk JOMPAY PTPTN di Pejabat PTPTN Negeri (PPN) Selangor , Seksyen 14 di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic, Eqhwan Mokhzanee Muhammad.

Mastura berkata, ia adalah usaha berterusan PTPTN dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memenuhi keperluan pelanggan dalam memastikan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai peminjam.

Beliau yakin sasaran RM4 bilion kutipan bayaran balik PTPTN dicapai dengan saluran baru JomPAY dan sehingga Julai lalu RM2.35 bilion sudah dikutip.

Katanya, sempena perasmian Kiosk PTPTN di PPN Selangor, PTPTN mengadakan kempen JomPAY Online mulai semalam hingga 30 September ini.

“Pelanggan menerima cenderahati istimewa selepas melakukan transaksi bayaran di kiosk itu tertakluk pada terma dan syarat,” katanya.

Sementara itu, Eqhwan berkata, pihaknya berbesar hati menyerahkan 20 unit komputer riba sebagai sebahagian daripada sumbangan kepada PTPTN sempena pembukaan kiosk JomPAY di 20 cawangan terpilih.

“Dengan sumbangan ini, kami berharap kiosk ini menjadi platform yang mudah dan selesa bagi pelanggan PTPTN untuk melaksanakan transaksi pembayaran balik pinjaman serta penambahan deposit SSPN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 2:59 AM