Mahdzir bersalaman dengan perwakilan ketika hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Timur ke-29.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Ibu bapa tidak perlu susah hati mengenai sekolah dilabelkan atau disenaraikan sebagai sekolah panas kerana ia bukan bermakna seluruh sekolah berkenaan bermasalah, tetapi lebih kepada bagi membolehkan semua pihak memperbaiki keadaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, terdapat kriteria tertentu yang diambil pihak Kementerian Pendidikan melalui jawatankuasa khas untuk menentukan label sekolah yang mempunyai masalah disiplin.

Beliau berkata, jika ada sekolah dalam senarai jawatankuasa itu, ia bukan bermakna seluruh sekolah terbabit tiada disiplin atau bermasalah, tetapi bagi semua pihak melihat atau memperbaiki beberapa kriteria yang dikenal pasti terdapat dalam dua kategori sekolah panas.

“Ibu bapa tidak perlu susah hati dengan label itu di mana sekolah anak mereka masuk dalam kategori tertentu.

“Sebaliknya pengetua, guru dan pihak sekolah selain Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni sekolah boleh memperbaiki apa yang ditunjukkan melalui senarai yang dibuat jawatankuasa berkenaan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Timor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas 402 sekolah di seluruh negara kini dalam pemerhatian kementerian selepas dikategorikan sebagai sekolah yang mempunyai masalah disiplin yang tinggi.

Mahdzir berkata, sesuatu perlu dilakukan untuk memperbaiki disiplin pelajar yang sejak kebelakangan ini dilihat semakin membimbangkan dan pihaknya yakin ia boleh ditangani serta tindakan melabelkan sekolah dengan kategori tertentu bukanlah satu masalah.

“Dari semasa ke semasa kami akan buat penilaian dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekolah dan sebagai contoh, hujung tahun ini mungkin kami hantar pasukan dari kementerian ke setiap sekolah yang dilabelkan untuk dibuat sedikit penilaian,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kementerian mengenal pasti 402 sekolah panas di seluruh negara yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu masalah disiplin dan masalah disiplin serta penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 8:38 AM