Seriatun bersama ahli keluarga sebelum berlepas menunaikan haji di LTAS, semalam.
Norazimah Narudin
am@hmetro.com.my


Senai: Gembira berbaur sedih. Demikian perasaan dirasai seorang isteri apabila terpaksa menunaikan ibadah haji tanpa suami di sisi memandangkan insan tersayang itu dalam keadaan uzur.

Walaupun berat hati meninggalkan suami, Zakaria Ahmad, 65, yang sakit, Seriatun Kamsan, 64, dari Parit Raja, Batu Pahat meneruskan niatnya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah.

“Suami saya juga mendapat panggilan dari Tabung Haji (TH) serentak dengan saya tahun ini, tetapi dengan keadaan sekarang, doktor tidak menyarankan suami pergi ke Tanah Suci.

“Ini kali kedua kami suami isteri mendapat seruan haji, kali ini saya tidak boleh melepaskan peluang untuk ke sana walaupun terpaksa meninggalkan suami buat seketika.

“Sepanjang peninggalan saya nanti, suami akan dijaga empat anak secara bergilir-gilir, jadi saya tidak risau dengan keadaan suami walaupun terasa berat hati,” katanya.

Zakaria kini uzur disebabkan serangan angin ahmar, darah tinggi dan kencing manis hanya mampu menangis ketika menghantar isterinya menunaikan rukun Islam kelima itu.

Seriatun antara 150 jemaah wanita daripada 288 jemaah haji dalam penerbangan hari ketiga dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) yang berlepas jam 5.45 petang, semalam.

“Saya akan berdoa kepada Allah SWT supaya suami sembuh dan boleh menunaikan haji. Dia memang teringin sangat ke Tanah Suci, apakan daya dengan keadaan yang uzur sekarang,” katanya hiba.

Sementara itu, Nusyazana Zakaria, 33, yang bekerja di Jabatan Pendidikan di Putrajaya berkata, bapanya sangat sedih apabila mendapat tahu ibunya bakal menunaikan haji tanpa dirinya.

“Ayah sekarang tidak mampu bercakap berikutan penyakit dialami sejak 2009 lagi. Kami dapat merasakan kesedihannya yang tidak dapat menunaikan haji sedangkan namanya sudah disenaraikan.

“Mak dan ayah pernah mendapat panggilan haji bersama, tetapi ketika itu terpaksa membatalkan niat masing-masing disebabkan kesihatan ayah yang tidak mengizinkan ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 6:46 AM