NORASHIKIN bertukar pandangan dengan perwakilan antarabangsa.
PERWAKILAN kerajaan dari pelbagai negara yang terpilih mengikuti UNPSF2017.
WAKIL dari negara lain memberikan input dalam mengatasi kadar pengangguran.
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my

Berucap buat julung kali di United Nations Public Service Forum 2017 (UNPSF2017) yang berlangsung di World Convention, The Hague, Belanda pada 22 dan 23 Jun lalu menjadi saat bersejarah buat Ketua Sekretariat Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Norashikin Ismail.

Peluang mewakili negara ke forum yang disertai negara serata dunia itu membuktikan usaha dan perjuangan SL1M selama ini yang menyediakan platform untuk pencari kerja terutama graduan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dengan pendedahan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja diiktiraf sekali gus lebih menjadi rujukan dunia.

Program anjuran bersama Kementerian Dalam Negeri dan Hubungan Antarabangsa Belanda dan Bahagian Pentadbiran Awam dan Pengurusan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bertujuan menghimpunkan wakil kerajaan dari seluruh dunia untuk berkongsi pendekatan inovatif masing-masing bagi membantu golongan terpinggir dalam mencapai Agenda 2030 iaitu pembangunan yang mampan walaupun menghadapi arus pembangunan pesat serta kekangan sumber bumi yang semakin berkurangan.

Di sana, Norashikin membentangkan inisiatif Malaysia menerusi SL1M dengan begitu terperinci dalam menangani isu pengangguran negara terutama dalam kalangan belia amnya dan graduan universiti khasnya.

“Alhamdulillah, saya gembira apabila peluang keemasan yang diberikan ini mendapat maklum balas positif daripada pelbagai negara yang menyertai forum itu.

“Malah ada antara mereka yang terkejut bagaimana SL1M berjaya bergerak dan melaksanakan matlamatnya dengan sokongan 100 peratus daripada sektor swasta di Malaysia serta kerjasama unik antara kerajaan dan pemain industri yang mampu meningkatkan sosio ekonomi pelatih SL1M.

“Negara seperti Oman, Sri Lanka dan Colombia misalnya, begitu teruja dan berharap dapat belajar serta mengaplikasikan modul SL1M di negara mereka.

“Sehingga kini, seramai lebih 120,000 graduan berjaya dibantu SL1M untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat SL1M, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.

Terpilih ke UNPSF2017 itu juga dianggap sebagai satu kejayaan besar kepada SL1M dan sebab itu, Norashikin mengajak graduan mahupun pihak industri yang masih skeptikal serta meragui kemampuan SL1M selama ini untuk bangkit dan menyertainya.

Ini kerana, adalah sesuatu yang sedih dan memalukan apabila rakyat kita sendiri memandang sebelah mata terhadap SL1M, manakala negara luar pula lebih mengiktiraf program SL1M.

“Colombia contohnya, memuji pelaksanaan SL1M ini kerana belia di negara mereka terlalu selesa untuk tidak bekerja disebabkan mendapat wang bantuan sara hidup setiap bulan.

“Belia di sana mengatakan mengapa mereka perlu bekerja sedangkan setiap bulan menerima wang berkenaan dan akibat daripada tindakan mereka itu, Colombia mempunyai kadar pengangguran yang tinggi. Masalah ini juga mengundang kepada peningkatan kadar jenayah dan gejala sosial yang lain,” kata Norashikin.

Tambahnya, graduan dan belia di Malaysia beruntung kerana mempunyai pilihan dan inisiatif seperti disediakan SL1M agar mereka dapat membantu memajukan ekonomi diri sendiri, keluarga dan negara.

Norashikin berkata, tiada negara lain dalam dunia ini membayar graduan untuk mendapatkan latihan.

“Jika orang lain kena bekerja baru dibayar gaji, tetapi anda diberi elaun RM1,500 tidak termasuk elaun lain semata-mata untuk dapatkan pengalaman dan ilmu menjadi pekerja berkualiti.

“Calon terpilih akan menjalani latihan kemahiran insaniah dan teknikal serta kemahiran bagaimana meningkatkan keyakinan diri dan pendedahan suasana kerja seterusnya menjadi nilai tambah jika diserap majikan ke jawatan tetap selepas tamat latihan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman terdahulu, bekas pelatih SL1M biasanya menjadi rebutan majikan berikutan mereka lebih berkeyakinan dan mempunyai kemahiran termasuk komunikasi serta kepemimpinan mereka lebih terserlah.

“Kepada pelatih SL1M yang tidak diserap masuk selepas setahun menjalani latihan di syarikat yang mengambil bahagian, tidak perlu khuatir kerana mereka boleh datang semula kepada kami dan kita akan atur latihan di syarikat lain.

“Pokok pangkalnya, mereka perlu bersikap positif dan bukannya terus berputus asa serta menyalahkan program ini yang dianggap sia-sia selepas setahun berhempas pulas memberi yang terbaik,” katanya.

Norashikin turut menasihati graduan supaya tidak terlalu memilih pekerjaan sebaliknya berani mencuba bidang yang baru dan berlainan.

Mengambil Belgium sebagai inspirasi, negara itu diperkukuh dengan sistem pendidikan yang mewajibkan teori dan kemahiran bergerak seiring.

Justeru, mereka tidak mengalami masalah pengangguran dalam kalangan belia, malah pendapatan mereka yang berkemahiran lebih tinggi berbanding pekerja makan gaji di pejabat semata-mata.

Menerusi forum itu juga, Norashikin mengumpul pengetahuan baru di mana pentingnya untuk setiap negara melalui kerajaannya perlu berganding bahu, bergerak seiring dan mendengar pandangan rakyat serta pihak industri bagi mewujudkan pekerjaan dan kemakmuran.

Sementara itu, lebih 5,000 jawatan kosong menanti graduan serta pencari kerja pada Program Temuduga Terbuka SL1M peringkat Sabah pada 22 dan 23 Julai ini.

Program itu akan diadakan di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang dan orang ramai dijemput hadir untuk merebut peluang yang diberikan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 6:40 AM