Zainal (berdiri dua kiri) menyaksikan pegawai tertinggi LPP menandatangani dokumen ikrar bebas rasuah
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), menjadi penandatangan ke-235, semalam, yang menyokong kempen Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle, Ikrar Bebas Rasuah (IBR), sebagai komitmen badan berkanun itu memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam menjalankan tugas.

Tindakan terbabit menjadikan LPP sebagai agensi pertama di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menandatangani ikrar diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Abdul Samat Kasah berkata, kempen itu mendapat sambutan hangat apabila pelbagai agensi menyatakan komitmen untuk menandatangani IBR.

“IBR ini sebagai titik permulaan kerjasama erat antara SPRM dengan agensi berkaitan yang menyambut baik inisiatif kami dalam memerangi rasuah.

“Usaha itu dapat membantu memerangi gejala tidak sihat ini lebih awal kerana pencegahan peringkat dalaman adalah elemen berkesan daripada dibiarkan terus merebak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani IBR di Menara LPP, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 6:17 AM