KEADAAN kereta yang termasuk dalam lubang.
myMetro

Kuantan: Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang dapat digambarkan nasib seorang pemandu lelaki yang keretanya terperosok ke dalam lubang akibat paip bawah tanah pecah di Persimpangan Bunga Cengkih berhampiran Bukit Istana, di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu membuatkan pengguna jalan raya cemas dan panik kerana jalan berkenaan menjadi ‘banjir’ sehingga ada pengguna yang terpaksa berpatah balik.

Bagaimanapun, pemandu yang tidak dikenali identiti itu terselamat dan tidak cedera.

Difahamkan kenderaannya dikeluarkan menggunakan trak penunda yang mengambil masa kira-kira setengah jam.

Seorang pemandu, Siti Nurfatimah Zainol, 19, berkata, dia dalam perjalanan ke tempat kerja menekan brek mengejut selepas melihat PERODUA Viva itu terperosok ke dalam lubang.

“Ketika itu jalan berkenaan tidak terlalu sesak dan saya bersyukur kerana sempat menekan brek jika tidak mungkin saya merempuh kereta berkenaan,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Nurul Farhana Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku selepas paip sepanjang 375 milimiter (mm) pecah, sekali gus mengakibatkan permukaan jalan retak seterusnya runtuh.

“Kejadian itu menyebabkan kira-kira 1,200 pemilik akaun yang tinggal di kawasan Bukit Kuantan, Bukit Goh, Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh, Tanjung Pasir dan kawasan sekitar mengalami gangguan bekalan air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 6:08 AM