GERABAK tren MRT dipenuhi pengguna, semalam.
NAJIB, Rosmah dan Dr Ahmad Zahid tiba di Stesen Stadium Kajang selepas merasmikan Fasa Kedua MRT.
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bukan sekadar pengangkutan, malah Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang akan memberi banyak impak positif terutama penjimatan perbelanjaan dan masa kepada pengguna.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, dengan adanya sistem pengangkutan moden itu akan mengurangkan kos sara hidup, menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti yang sudah tentu memberi kesan kepada ekonomi negara.

Menurutnya, sejak mengambil alih kepimpinan negara, beliau sedar Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan jaringan sistem pengangkutan yang moden, efisien dan boleh diharap dengan kadar berpatutan untuk semua golongan masyarakat.

“Inilah kriteria yang kita tetapkan kerana kita sedar apabila kita lihat pengalaman di ibu kota lain termasuk di rantau ini bagaimana keadaan kesesakan lalu lintas yang berlaku sehingga seseorang itu terpaksa menghabiskan masa ada kala lapan hingga 10 jam tiap-tiap hari kerana keadaan lalu lintas terlalu sesak.

“Maka, kita sedar sebelum perkara itu terjadi bagi ibu kota ini, kita perlu mengambil langkah awal supaya kita mengelak keadaan berkenaan, sebab tandanya sudah pun kita rasai. Hujan lebat, (bahkan) hujan gerimis pun dah berlaku kesesakan.

“Alhamdulillah hari ini kesannya besar, antaranya dari segi perjalanan, dari Sungai Buloh ke Kajang, kalau gunakan bas saya diberitahu memakan masa dua jam setengah sehala kalau pergi balik lima jam. Kalau naik MRT 88 minit saja,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang, di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), di sini, semalam.

Selepas perasmian itu, beliau menaiki tren dari Stesen MRT TRX ke Stesen MRT Stadium Kajang sebelum disambut kira-kira 20,000 penduduk Kajang dan kawasan di sekitarnya.

Beliau dan tetamu disajikan dengan sate Kajang iaitu makanan popular di bandar itu, selain pelbagai juadah sempena sambutan Aidilfitri.

Seterusnya, beliau menyerahkan sijil kepada 52 peserta Program Usahawan Muda MRT Kedua (MYEP II) dan sumbangan kad MyRapid Touch ‘n Go kepada 20 daripada 100 penerima yang mewakili golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 5:41 AM