SERAMAI 298 orang terkorban dalam tragedi hitam pada 17 Julai 2014.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengulangi desakan Malaysia untuk keadilan bagi mangsa tragedi penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di timur Ukraine tiga tahun lalu.

“Ia tetap menjadi keutamaan kami untuk mendapatkan keadilan bagi keluarga mereka yang terkorban. Kami akan meneruskan usaha dan mendakwa pelaku perbuatan kejam yang melampau ini. Ini adalah satu tragedi yang Malaysia tidak akan lupakan,” kata Najib melalui posting dalam laman Twitter dan Facebook semalam.

Najib juga merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa atas tragedi itu.

“Pada hari ini (semalam), tiga tahun lalu, 298 orang yang tidak berdosa terkorban apabila pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh. Kita kehilangan 43 rakan kita sebagai rakyat Malaysia pada hari itu. Bagi mereka yang kehilangan orang tersayang, ingatan kepada mereka tidak akan luput.

“Malaysia berdiri teguh bersama anda,” kata beliau.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan semua 298 orang yang menaiki penerbangan itu.

Mangsa tragedi ialah dari Belanda, Malaysia, Australia, Indonesia, Britain, Belgium, Jerman, Filipina, kanada dan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 5:34 AM