Najib hadir pada majlis Mesra Aidilfitri TNB 2017, semalam.
Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kemampuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempamerkan kecemerlangannya dengan lonjakan kedudukan menerusi 50 jenama utiliti terkemuka-Brand Finance Global 2017 atau Utilities 50 (2017) menjadikan syarikat itu sebagai organisasi bertaraf dunia dalam menyediakan perkhidmatan berteraskan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pencapaian itu selari dengan matlamat negara yang bukan hanya memerlukan infrastruktur berteras rakyat atau infra rakyat, tetapi menawarkan perkhidmatan dan kepakaran setanding di peringkat antarabangsa.

Katanya, kejayaan dilakar bukan retorik politik, tetapi dibuktikan menerusi laporan tahunan Brand Finance apabila TNB meningkat 15 anak tangga kepada kedudukan ke-24 dalam 50 jenama utiliti terkemuka.

“Pagi tadi (semalam), saya melancarkan Transit Aliran Massa (MRT) yang dinyatakan sebagai infra rakyat, apabila disebut sebagai infra rakyat, TNB juga tergolong dalam tanggungjawabnya menyediakan infra rakyat. Ini sangat penting terhadap keperluan kita.

“Sebagai sebuah negara, kita bukan saja mahu infra rakyat, tetapi bertaraf dunia. Berdasarkan tahap pencapaian TNB kebelakangan ini, dengan kepakaran yang ada, saya juga menggolongkan kemampuan TNB sebagai organisasi bertaraf dunia dalam menyediakan infra rakyat,” katanya pada Majlis Mesra Aidilfitri TNB 2017,
di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 5:26 AM