SUSPEK dicekup orang ramai cuba meragut telefon bimbit.
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my

Port Dickson: Seorang lelaki berusia 36 tahun dibelasah orang ramai sebaik gagal meragut telefon bimbit seorang wanita berusia 20-an di bandar ini, jam 5.15 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah berkata, cubaan itu gagal sejurus orang ramai yang menyedari kejadian mengejar suspek.

“Suspek yang dikejar sejauh 500 meter kemudian dibelasah menyebabkan dia cedera di pipi kanan serta belakang badan.

“Orang awam kemudian menghubungi kami sebelum anggota dihantar ke lokasi untuk menahan suspek,” katanya, semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati suspek berasal dari Kampung Kebun Jimah, Lukut.

“Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphethamine. Suspek turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2017 @ 5:55 AM